Kurangkan 10 peratus pekerja asing sektor perniagaan kecil - Utusan Malaysia

Kurangkan 10 peratus pekerja asing sektor perniagaan kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan pengurangan lima hingga 10 peratus penglibatan pekerja warga asing dalam sektor perniagaan kecil pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, pelaksanaan pengurangan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing itu, sama ada warga asing yang berniaga menggunakan lesen rakyat tempatan atau warga asing yang bekerja dengan penjaja tempatan akan dilaksanakan bermula di pasar awam sekitar ibu kota.

“Pemantauan oleh Kementerian Wilayah dan DBKL mendapati masih ramai warga asing yang aktif berniaga. DBKL tidak pernah mengeluarkan apa-apa kebenaran atau lesen penjaja kepada warga asing dan penjaja juga dilarang sama sekali melantik pembantu yang terdiri daripada warga asing.

“Kurangkan penglibatan atau kebergantungan terhadap warga asing kerana ramai rakyat tempatan yang memerlukan pekerjaan dalam sektor perniagaan kecil ini.

“Hal ini secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi negara dan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada kempen ‘Sifar Penjaja Warga Asing’ anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) di sini hari ini.

Ibrahim berkata, mana-mana peniaga warga tempatan yang didapati menggajikan warga asing serta warga asing yang menjalankan perniagaan di bawah lesen warga tempatan akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk pembatalan lesen perniagaan, denda dan disita barang-barang berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016. – Bernama 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN