Kubur besar mengandungi 166 mayat ditemui di Mexico - Utusan Malaysia

Kubur besar mengandungi 166 mayat ditemui di Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COATZACOALCOS, Mexico – Pihak berkuasa Mexico me­nemui sekurang-kurangnya 166 mayat di sebuah tapak kubur besar di negeri Veracruz, demikian menurut pihak pendakwa raya kelmarin.

Negeri itu menempatkan bandar Veracruz, salah sebuah pelabuhan terbesar di Mexico dan mempunyai sejarah politik rasuah dan perebutan kuasa antara kartel dadah yang mendorong kepada peningkatan kejadian keganasan.

“Mayat sekurang-kurangnya 166 orang dijumpai di sebuah tapak kubur besar yang baru dikesan di Veracruz,” kata pendakwa raya negeri, Jorge Winckler kepada kumpulan pemberita. Ia merupakan antara penemuan terbesar seumpamanya di Me­xico setakat ini.

Tapak perkuburan itu terletak di tengah Veracruz, namun pihak berkuasa enggan mendedahkan lokasi sebenar atas faktor keselamatan, katanya. Pakar-pakar forensik masih menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Winckler berkata, pasukan penyiasat turut menemui 200 pakaian, 144 kad pengenalan dan barangan peribadi lain di lokasi tersebut sejak kerja penggalian semula mayat bermula pada 8 Ogos lalu.

Seorang pemberi maklumat memberitahu pihak berkuasa bahawa beratus-ratus mayat ditanam di tapak perkuburan rahsia itu, demikian menurut pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan analisis forensik, tapak pengebumian rahsia itu dianggarkan berusia kira-kira dua tahun,” kata kenyataan sama.

Terdapat sekurang-kurang­nya 32 kubur besar di tapak perkuburan tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN