KUALA LUMPUR 25 Sept. – Dua musim berturut-turut sejak 2016, Kuala Lumpur terkandas pada separuh akhir, namun musim ini mereka nekad meletakkan sasaran yang lebih tinggi – mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-78.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani berkata, mereka mempunyai alasan kukuh mengapa misi itu mampu dicapai sebaik sahaja memulakan kempen Kumpulan C di Padang Pulapol, menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) esok.
“Kami memiliki pemain-pemain berkualiti yang berpengalaman bermain Liga FAM musim ini. Persiapan pramusim PERR kami juga menyaksikan empat kemenangan, seri sekali dan kalah dua kali daripada tujuh perlawanan persahabatan.
“Kuala Lumpur ada kelebihan dan saya percaya pasukan ini boleh pergi jauh,” katanya yang juga bekas pemain skuad warga kota juara Piala Malaysia 1987 hingga 1989, pada majlis pengenalan pasukan di ibu kota, semalam.
Kuala Lumpur disekat Pahang 2-1 dan Kelantan 2-0 secara agregat pada separuh akhir musim 2016 dan 2017 dengan kali terakhir menjulang Piala Emas Raja-raja pada 1994, menewaskan Perlis 2-1.
Mengenai PDRM dan lawan lain termasuk juara Piala Agong 2018, Pahang dalam kumpulan ini, kata Ramlan, “kebanyakan mereka juga ada pemain-pemain Liga FAM. Walaupun jumpa lawan kuat lebih awal, itulah yang cabaran yang perlu diharungi pasukan.
“Kami juga kena ada mentaliti untuk berjaya dan semangat tinggi. Hanya persembahan pada hari perlawanan yang akan jadi penentu,” kata bekas pengurus pasukan Kuala Lumpur yang pernah menjuarai Piala FA dan Sumbangsih ini.











