ITOGON, Filipina 18 Sept. – Beratus-ratus anggota penyelamat Filipina menggunakan cangkul dan tangan untuk menggali kawasan tanah runtuh yang dikhuatiri mengorbankan puluhan penduduk ketika angka korban Taufan Mangkhut terus melonjak kepada 74 orang.
Taufan berkenaan telah menyebabkan banyak jalan raya rosak sehingga pihak berkuasa tidak dapat menghantar jentera berat bagi memudahkan dan mempercepatkan operasi menyelamat.
Menurut pihak berkuasa, dianggarkan 40 penduduk terperangkap bawah runtuhan tanah di Itogon selepas hujan lebat berterusan dalam tempoh beberapa jam.
Datuk Bandar Itogon, Victorio Palangdan berkata, peluang menemukan mangsa yang masih hidup dalam kejadian tanah runtuh itu adalah sangat tipis setakat ini.
“Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga Presiden Filipina mengarahkan kami supaya berhenti,” katanya.
Sementara itu, di Hong Kong, golongan guru, pelarian, kanak-kanak dan pekerja pejabat berganding bahu melakukan kerja-kerja pembersihan sehari selepas Mangkhut membadai wilayah itu.
Tiada penduduk terkorban ketika taufan super itu melanda wilayah tersebut tetapi lebih 300 orang cedera apabila bangunan bergoyang, tingkap pecah dan kawasan penempatan berhampiran pantai dibadai ombak kuat, selain lebih 1,000 batang pokok tumbang.
Seorang guru dengan dua anak perempuannya, Simong Ng memberitahu bahawa keadaan sekitar kini kelihatan seperti lepas berperang dan kerja pembersihan perlu dilakukan dalam skala besar.
Dia juga berharap melalui kerjasama tersebut, semua pihak dapat menghargai sumbangan serta bantuan daripada pelbagai pihak lain.
Sekeping gambar yang disiarkan dalam Facebook juga menunjukkan penduduk warga Afrika dan kumpulan pencari suaka membersihkan dahan-dahan pokok yang tumbang sehingga mendapat perhatian banyak pihak.
Sementara itu, seorang pekerja sosial, Jeff Andrews menyatakan kumpulan tersebut yang tiada pekerjaan dan membantu penduduk tempatan membersihkan kawasan kerana mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi. – AGENSI











