NAIROBI – Jumlah korban dalam tragedi sebuah feri terbalik di Tasik Victoria meningkat kepada 166 orang, kata stesen televisyen milik kerajaan, TBC semalam ketika pasukan penyelamat dikerah dalam operasi menyelamat bagi mencari lebih ramai mangsa yang dikhuatiri lemas.
“Operasi diteruskan awal pagi ini,” kata TBC.
Lewat kelmarin, angka korban adalah seramai 131 orang, dengan 40 orang diketahui telah terselamat selepas feri MV Nyerere terbalik berhampiran dermaga di Pulau Ukara pada Khamis lalu.
Feri itu bermungkinan membawa seramai 300 penumpang iaitu dua kali ganda daripada kapasiti feri, demikian menurut laporan media negara tersebut.
Presiden Tanzania, John Magufuli kelmarin mengarahkan penahanan pihak pengurusan feri berkenaan.
Saksi-saksi yang dihubungi agensi berita AFP memberitahu, feri tersebut tenggelam apabila penumpang berebut-rebut ke satu bahagian untuk turun ketika menghampiri limbungan.
“Jelas kelihatan bahawa feri itu terlebih muatan. Kecuaian telah menyebabkan kita kehilangan banyak nyawa seperti kanak-kanak, ibu, pelajar dan orang tua.
“Saya mengarahkan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan feri ditangkap. Penahanan sudah bermula,” kata Magufuli dalam satu ucapan yang disiarkan di stesen televisyen awam, TBC 1.
Presiden itu mengisytiharkan empat hari tempoh berkabung seluruh negara dan berkata, kerajaan akan menanggung perbelanjaan pengebumian semua mangsa yang terkorban.
Harapan bahawa lebih ramai mangsa terselamat akan dijumpai kian pudar. – AFP











