Konflik pemilihan PKR, jentera Seri Setia tidak terjejas - Utusan Malaysia

Konflik pemilihan PKR, jentera Seri Setia tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Konflik dalaman Pemilihan PKR melibatkan pertembungan di antara kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak menjejaskan gerak kerja jentera Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Calon PH untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN itu, Halimey Abu Bakar berkata, segala percaturan untuk memastikan kemenangan PH di kerusi berkenaan berjalan dengan baik bermula dari hari pertama sehingga kini.

Walau bagaimanapun, tegasnya, beliau bukanlah individu yang layak untuk mengulas lanjut akan masalah itu kerana dirinya tidak bertanding di mana-mana peringkat dalam pemilihan parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jentera kita sentiasa ada dan melaksanakan kerja mereka di lapangan untuk memastikan kemenangan.

“Saya tidak bertanding di mana-mana peringkat cabang atau pusat. Jadi, tidak perlu saya jawab dan komen dengan lebih mendalam,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi DUN berkenaan dekat sini hari ini.

Halimey yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamed Azmin yang menggesa ahli-ahli PKR memilih pemimpin yang mempunyai kuasa eksekutif di dalam kerajaan dan bukannya memilih penganggur.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, ahli parti juga perlu memilih pemimpin yang umpama diam-diam berisi dan bukannya tin kosong yang gemar membuat tuduhan tetapi tidak berisi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini