KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak bersetuju dengan cadangan menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 dan 16 tahun masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki.
Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana aspek fizikal dan psikologi bagi golongan tersebut belum lagi mencapai tahap matang.
“Kalau kita lihat dari sudut kesihatan, memang tidak sesuai kerana remaja tersebut akan melalui proses mengandung yang mana rahimnya tidak kuat dan dikhuatiri memudaratkan nyawa ibu dan anak ketika proses kelahiran.
“Dari segi psikologi pula, mereka akan menghadapi cabaran dan tekanan rumah tangga dalam usia mentah tersebut. Mereka masih kanak-kanak. Kamu nak harapkan seorang kanak-kanak membesarkan kanak-kanak lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan bagi Penyelidikan Klinikal (NCCR) Ke-12 bertemakan “Patient Centred Research – Digital Health” di Hotel Istana, hari ini.
Bagaimanapun katanya, KKM bersetuju dengan usaha kerajaan untuk menyelaraskan semua perundangan berkaitan di negara ini untuk menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Ogos. – Bernama










