KUALA LANGAT 20 Sept. – Para pengusaha kilang haram di daerah ini diingatkan supaya segera mengikut peraturan yang ditetapkan jika tidak mahu premis mereka diarahkan tutup dan mesin disita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San berkata, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan agensi Persekutuan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah tiga kali mengadakan operasi bagi memastikan aktiviti pengusaha kilang terbabit mengikut undang-undang.
“Hari ini sebanyak 11 kilang yang dipercayai melanggar syarat-syarat lesen, tiada kebenaran merancang dan beroperasi tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan diperiksa.
“Sebagai contoh, jika kilang ini tidak boleh melupuskan bahan plastik maka kita perlu merujuk operator terbabit kepada Jabatan Alam Sekitar yang turut hadir hari ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi kilang-kilang bahan kitar semula haram di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting di sini, semalam.
Weng San menambah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor juga akan bertindak memutuskan bekalan elektrik dan air bagi memastikan pengusaha beroperasi mengikut lunas-lunas perundangan Persekutuan dan kerajaan tempatan.
Dalam pada itu, berhubung operasi tersebut, beliau memberitahu, tiga daripada 11 kilang yang diserbu, 16 pendatang asing tanpa izin yang menyalahi peraturan imigresen diberkas dan bakal dihantar ke depoh Jabatan Imigresen di Semenyih untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











