“Rakyat Malaysia secara amnya sangat mirip dengan Venezuela dan Amerika Latin. Penduduknya yang mesra, terbuka, tersenyum, bersemangat, menyokong, dan bijak dan mempunyai rasa humor yang sangat baik,” itulah pandangan yang dilontarkan Duta Besar Republik Bolivaria Vanezuela ke Malaysia, Manuel Antonio Guzman Hernandez.
Selepas lebih sedekad berada di Malaysia, beliau mengakui dirinya berasa selesa di negara ini dan menyifatkan masyarakat Malaysia sebagai istimewa.
Duta itu berkata, beliau telah dapat mempelajari, menghargai tentang keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang positif.
“Malaysia hanya melakar sejarah pendek dalam menjadi sebuah negara merdeka dan usaha yang dibangunkan selama ini menjamin masa depan yang cerah, penuh dengan pencapaian.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah sebuah negara dinamik yang memilih jalan pembangunannya sendiri, mempunyai kebijaksanaan serta menjadikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya sebagai kekuatan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia dalam temu bual secara bertulis di sini.
Beliau tidak sesekali berasa canggung ketika berada di negara ini, apatah lagi menggangap Malaysia seperti negara asalnya sendiri.
Katanya, apa yang membezakan Malaysia berbanding negara lain adalah kepelbagaian komposisi masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama.
“Bagi yang melawat Malaysia, mereka beruntung kerana merasai kepelbagai di satu tempat. Anda boleh merasai masakan masyarakat Cina dan kunjungi rumah ibadat India dan banyak lagi,” jelasnya.
Hari ini kita (kerajaan dan negara Venezuala) saling mengenal antara satu sama lain. Bagi perdagangan, ia masih agak kecil, tetapi berkembang setiap hari,” ujarnya.
Guzman Hernandez juga berkata, Malaysia telah menunjukkan kematangan sistem demokrasinya terutamanya selepas pilihan raya yang lalu.
“Kedua-dua kuasa politik yang bertentangan kini belajar untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyumbang kepada pembangunan yang baik di negara ini.
“Kami berharap kerajaan baharu akan dapat memenuhi harapan yang dibangkitkan oleh rakyatnya,” kata beliau.
Guzman Hernandez menjangkakan di bawah kerajaan baharu hubungan kedua buah negara dapat dipertingkatkan lagi melalui penawaran peluang-peluang perniagaan antaranya dalam bidang perubatan, makanan, bangunan perumahan.
Beliau menambah, negaranya mempunyai banyak kawasan tarikan pelancongan tetapi infrastrukturnya belum mencukupi manakala Malaysia pula berjaya membangunkan sektor pelancongan termasuk infrastrukturnya.
“Kita akui Venezuela mengalami krisis ekonomi besar, tetapi kerajaan sudahpun melaksanakan dasar mengatasi krisis ini. Ini adalah masa yang tepat untuk meneroka peluang perniagaan baharu,” jelas beliau.
Ditanya harapan Guzman Hernandez berkata, pihaknya percaya hubungan antara kedua-dua negara akan terus baik.
“Kita tahu bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir adalah pemimpin yang mempunyai keyakinan yang kuat, menggalakkan Kerjasama Selatan-Selatan yang semasa pemerintahan sebelumnya berjaya mempelbagaikan pasaran Malaysia,” tambah beliau.










