Industri perfileman tanah air pada minggu lalu dikejutkan dengan berita dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM16 juta yang diperuntukkan untuk lapan buah filem ghaib begitu sahaja.
Difahamkan selepas tiga tahun pemberian dana menerusi geran, lapan buah filem yang sepatutnya dihasilkan tidak kelihatan sehingga hari ini.
Menerima dana antara tahun 2015 dan 2016 jumlah yang diterima bukan sedikit. Sebaliknya ia cukup besar iaitu sekitar RM1.2 juta sehingga RM5 juta setiap filem.
Masalah ketirisan atau bahasa kasarnya ‘rompakan’ yang berlaku dalam Finas bukan sahaja menimbulkan kemarahan penggiat filem, tetapi menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo.
Selepas empat bulan memikul tugas sebagai menteri KKMM, Gobind mengaku berlaku ketirisan dana dalam Finas dan akan memperhalusi serta menyiasat perkara ini.
Malah, pihaknya juga mengatakan Finas memerlukan penstrukturan semula secara besar-besaran bagi memastikan kelancaran tadbir urus di agensi itu.
Perubahan dalaman penting terutama melibatkan proses penyaluran dana kerajaan.
“Saya lihat wujud banyak masalah dalam cara dana ini disalurkan dan ada keperluan kita mengkaji semula seluruh proses saluran dana ini. Jadi apa yang perlukan adalah reformasi lengkap dan menyusun semula kesemua prosedur tersebut supaya kita boleh lihat dana yang disalurkan digunakan pada tahap maksimum.
“Saya faham ada banyak bakat baharu yang mahu menceburi bidang perfileman dan mereka memerlukan bantuan tetapi kita perlu sistem yang memastikan dana dikeluarkan itu digunakan untuk tujuan betul, tiada ketirisan dan bukan hanya pihak tertentu berkuasa menyalurkan dana,” katanya dalam satu kenyataan.
Masalah ketirisan dana Finas yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun masih belum menemui jalan penyelesaian.
Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya melalui Bahagian Kewangan, Unit Integriti serta Unit Audit Dalam Finas mengambil inisiatif dengan menggerakkan pasukan jawatankuasa untuk menyiasat secara dalaman sekiranya wujud unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak dalaman agensi itu sendiri berkaitan pengurusan dana yang disalurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada Finas.
“Finas sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi terus memastikan Finas bersih daripada sebarang unsur-unsur negatif yang menyalahi undang-undang,” ujar Fauzi dalam satu kenyataan rasminya baru-baru ini.
Ketirisan dan penyelewengan dana merupakan isu besar kerana wang yang disalurkan kepada Finas itu merupakan wang rakyat. Ia satu perkara yang salah dan satu jenayah.
Lebih mengejutkan lapan buah filem membabitkan tujuh filem cereka dan sebuah animasi yang terlibat dalam dana ghaib RM16 juta itu dimonopoli oleh dua individu menggunakan beberapa buah syarikat berbeza.
Apa yang berlaku sudah tentu tidak adil kepada penggiat filem yang benar-benar memerlukan dana untuk karya mereka.
Tamak
Disebabkan sikap tamak sesetengah pihak yang sanggup ‘merompak’ dana Finas ada antara penggiat filem terpaksa bergolok gadai dan ikat perut demi sebuah karya seni.
Golongan seperti ini yang benar-benar meletakkan jiwa dalam seni dan mahu meletakkan filem Malaysia di peringkat antarabangsa wajar diberi bantuan.
Perkara itu turut dipersetujui oleh penerbit filem dan pemilik syarikat produksi Skop Productions Sdn. Bhd., Datuk Yusof Haslam.
Beliau mengharapkan perkara ini disiasat sewajarnya oleh pihak SPRM andai benar penyelewangan berlaku.
“Saya tidak pasti akan kebenarannya sehingga siasatan selesai dijalankan kerana kadang-kala cerita ditokok tambah,” kata Yusof.
Penerbit filem Munafik 2 itu yang pernah menjadi Timbalan Pengerusi Finas selama dua tahun antara tahun 2016 sehingga 2017 berkata, beliau tidak pernah tahu mengenai perkara tersebut kerana bukannya pentadbir, sebaliknya beliau hanya menghadiri mesyuarat sebulan sekali.
Tambahnya, jika mengikut aturan yang betul bukan mudah untuk mendapat geran berkenaan. Skop Productions sendiri tidak pernah memohonan geran Finas kerana kesemua filem terbitannya menggunakan dana sendiri.
Namun, pihaknya pernah mendapat dana menerusi geran CGI sebanyak dua kali menerusi filem Desolasi dan juga Abang Long Fadil.
“Sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan dana CGI tersebut kerana ia perlu melalui pelbagai proses yang memakan masa berbulan-bulan.
“Kami perlu jalani proses temuduga dan dinilai filem berkenaan sama layak atau tidak. Bukan mudah dan saya difahamkan satu syarikat boleh mendapatkan geran CGI ini sebanyak dua kali sahaja,” kata Yusof.
Kemelut yang berlaku dalam Finas mungkin tidak menjejaskan turun naik harga barang, tetapi andai berlaku penyelewangan ia tetap satu kesalahan yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Salah tetap salah.
Dalam industri mana sekali pun jika penyelewengan berlaku ia pasti akan menjejaskan struktur sebuah industri, malah dalam skala yang besar boleh menghancurkan sebuah negara.










