Ketengah calon pemuda berhadapan Anwar di Port Dickson - Utusan Malaysia

Ketengah calon pemuda berhadapan Anwar di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 15 Sept. – Pemuda UMNO negeri mencadangkan kepada kepemimpinan parti itu supaya meletakkan calon dalam kalangan orang muda bagi berhadapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson nanti.

NOOR HAIRI
NOOR HAIRI 

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, langkah itu penting bagi memberi peluang kepada pemuda menimba pengalaman menentang pemimpin ‘warlords’ dalam politik tanah air itu.

“PRK Port Dickson adalah platform terbaik untuk pemuda menggunakan pengalaman tersebut sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Anwar diumumkan bertanding di kerusi Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR itu untuk bertanding.

Tindakan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada Anwar memulakan langkah sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi mengantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas ini.

Sementara itu, Noor Hairi berkata, PRK Port Dickson yang menyaksikan wakil rakyat PKR sengaja melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar seolah-olah mengulangi ‘langkah Kajang’ yang disifatkan mencabul proses demokrasi selain merupakan pembaziran bagi memenuhi nafsu kem tertentu di dalam PKR.

“Saya harap rakyat dapat menilai perkembangan ini iaitu sejak daripada merdeka, PKR adalah satu-satunya parti politik yang melakukan tindakan seumpama ini.

“Ia bukan bertujuan untuk membela rakyat, sebaliknya untuk kepentingan sempit peribadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN