IPOH 17 Sept. – Biarpun berjaya menamatkan saingan di kedudukan pertama namun Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan masih gagal merangkul emas kerana dikesan melakukan tiga kesalahan dalam acara jalan kaki 5,000 meter Sukan Malaysia (Sukma) 2018, di Stadium Perak, hari ini.
Pembatalan itu disebabkan dia membengkokkan kaki serta berlari anak (floating) sebanyak dua kali pada perlumbaan berkenaan menyaksikan pegawai teknikal melayangkan kad merah sekali gus emas jatuh ke tangan Koong Jia Lin yang mewakili Pahang.
Menurut Jia Lin,16, kemenangan yang dilakarkan itu sama sekali berada diluar jangkaannya lebih-lebih lagi apabila tidak diletakkan sebagai atlet sandaran emas.
“Saya tidak sangka boleh menang dengan cara seperti ini. Bagaimanapun saya tetap gembira kerana boleh menjadi penyumbang pingat emas bagi skuad Pahang dalam acara yang baharu saya sertai. Sebelum ini saya lebih tertumpu kepada acara 800m serta 1,500m,” katanya.










