KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang Ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang yang didakwa terlibat dalam kes salah laku seksual, telah digantung tugas selama dua bulan mulai semalam.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Tahan Kerja di bawah Peraturan 43 ke atas ketua jabatan berkenaan.
“Keputusan itu dibuat oleh SPA menerusi mesyuarat yang diadakan pada 14 September lalu bagi membolehkan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan lanjut terhadap ketua jabatan itu.
“Susulan daripada arahan Perintah Tahan Kerja itu, Kementerian Kesihatan juga akan memulakan siasatan dalaman pada minggu hadapan sebelum laporan siasatan diserahkan kepada SPA bagi tujuan penamatan perkhidmatan ketua jabatan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di hospital berkenaan, dekat sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan tertutup selama dua jam dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Ortopedik hospital berkenaan.
Sebelum ini, panel bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes salah laku itu, mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan mengambil tindakan menggantung tugas selarad dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – UTUSAN ONLINE










