Kerusi Jamalullail MAIPs anugerah 50 biasiswa pengajian PhD bernilai RM5 juta - Utusan Malaysia

Kerusi Jamalullail MAIPs anugerah 50 biasiswa pengajian PhD bernilai RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 10 Sept. – Sebagai sokongan kepada bidang pendidikan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan untuk menganugerahkan biasiswa kepada 50 orang penuntut pengajian Doktor Falsafah (Phd) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Penganugerahan di bawah Kerusi Jamalullail Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu adalah bersempena baginda menerima kunjungan menghadap oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang juga Presiden UIAM di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Maszlee ketika ditemui melahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih terhadap Tuanku Syed Sirajuddin atas penganugerahan tersebut yang disifatkan sebagai tanda sokongan baginda kepada bidang pendidikan dan UIAM.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu termasuk penentuan bidang-bidang pengajian yang bakal ditawarkan biasiswa berkenaan.

“Kita telah mengenal pasti sejumlah penuntut untuk ditawarkan biasiswa ini selain mereka yang berminat bolehlah membuat permohonan.

“Keutamaan akan diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan rakyat tempatan,” katanya.

Menurut Mohd. Nazim, Kerusi Jamalullail Majlis MAIPs sebelum ini pernah memberikan biasiswa terhadap penuntut PhD dalam bidang pengajian Islam tetapi di dalam jumlah yang kecil.

“Namun pada kali ini telah mencatat sejarah kerana jumlah biasiswa yang diberikan adalah besar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Asri menyifatkan bahawa penganugerahan biasiswa di bawah Kerusi Jamalullail MAIPs tersebut merupakan permulaan hubungan yang baik antara UIAM dan Presidennya yang baru dilantik dengan negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN