Kerjasama antara Bront Palarae dan PDRM diteruskan - Utusan Malaysia

Kerjasama antara Bront Palarae dan PDRM diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Meskipun wujud spekulasi yang mengatakan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memboikot filem terbitan Bront Palarae, 40, iaitu One Two Jaga namun pasukan beruniform itu masih berminat untuk meneruskan kerjasama dengan syarikat produksi Pixel Play Entertainment milik pelakon berkenaan.

Dalam satu pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat PRDM Bukit Aman semalam, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad menegaskan, isu boikot yang digembar-gemburkan adalah satu tohmahan tidak berasas.

“Sebetulnya, pihak PDRM langsung tidak pernah memboikot filem One Two Jaga seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul sedangkan dari awal PDRM telah memberikan sokongan termasuk garis panduan dalam pembikinan skrip,” katanya menepis dakwaan.

Terdahulu, One Two Jaga yang memaparkan sisi gelap jenayah kolar putih dalam kalangan anggota PDRM ditayangkan sejak 6 September lalu mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mendakwa diboikot oleh warga polis tempatan.

Bagaimanapun Asmawati menjelaskan, dakwaan tersebut sekadar khabar angin bagi memburuk-burukkan nama agensi keselamatan itu.

“Malah pihak kami berterima kasih kerana ada produksi selain Skop Productions yang begitu sinonim dengan karya kepolisan berminat untuk membuat filem berkaitan PDRM sekali gus mempromosikan organisasi kami.

“Kami sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada produser filem untuk menerbitkan sebarang naskhah berkaitan PDRM dan berjanji akan memberikan kerjasama sebaik-baiknya,” kata Asmawati.

Sementara itu, Bront menyambut baik kerjasama yang dihulurkan PDRM dan dia tidak berasa serik untuk menghasilkan filem berkaitan pasukan beruniform walaupun filem pertamanya itu tidak mencecah kutipan RM1 juta.

Selain Bront, yang turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah pengarah filem berkenaan, Nam Ron. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini