Kerajaan PH wajib bantu Kelantan - Utusan Malaysia

Kerajaan PH wajib bantu Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 13 Sept. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajib membantu membangunkan negeri ini selari dengan semangat federalisme dan prinsip keadilan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sesebuah negara tidak mungkin boleh diisytihar sebagai negara maju sekiranya terdapat sebuah negeri di dalamnya yang masih ketinggalan.

Beliau berkata, pihaknya tidak berkecil hati Kelantan dianggap sebuah negeri miskin tetapi sewajarnyalah mendapat bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan prasarana demi pembangunan ekonomi.

“Saya anggap kenyataan itu (negeri miskin) satu nasihat, kita akan berusaha tetapi dia mesti bantu kita.

“Ini tanggungjawab atas nama kerajaan dan bukannya parti, sebagai sebuah negara yang amal semangat federalisme dan mempunyai wawasan sendiri kerajaan kena lihat lebih dekat keperluan negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Khas Menteri Besar Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ahmad diminta mengulas teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai kelemahan kedudukan ekonomi di negeri ini baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN