KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berdolak-dalik dalam menunaikan janji untuk menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizzuddin Mohd. Zai berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila menyatakan golongan peminjam tidak malu apabila tidak melunaskan pinjaman mereka itu.
“Kami telah berkempen supaya pinjaman PTPTN dihapuskan ketika Dr. Mahathir memimpin kerajaan Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Tub Razak (bekas Perdana Menteri) menjadi Menteri Pendidikan ketika itu dan kemudian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pula kerajaan PH menjanjikan penangguhan bayaran (dalam manifesto).
“Gamis bukan sahaja kecewa dengan kenyataan terbaharu Dr. Mahathir tetapi menuntut kerajaan PH menunaikan komitmen penghapusan pinjaman PTPTN,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad Faizzuddin berkata, pihaknya sudah menghantar surat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi membincangkan perkara itu.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, kerajaan PH perlu melihat semula janji yang telah mereka berikan demi masa depan mahasiswa baharu yang akan melanjutkan pengajian.
“Kerajaan PH dan PTPTN perlu mengadakan perbincangan untuk melihat janji tersebut bagi memastikan dana PTPTN dapat terus membantu pelajar-pelajar baharu pada masa depan,” katanya.










