SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018 yang antara lain menyeleraskan had umur mininum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.
Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan kelulusan RUU itu yang dikemukakan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari selepas disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang hari ini.
Sebelum ini, Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menetapkan bahawa umur mininum perkahwinan bagi lelaki Islam adalah tidak kurang daripada 18 tahun manakala bagi perempuan Islam adalah tidak kurang daripada 16 tahun.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, penyelarasan had minimum bagi perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun tidak bercanggah dengan hukum syarak selain menjaga kebajikan mereka.
Katanya, cadangan menaikkan had umur perkahwinan susulan isu pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berumur 11 tahun dengan pasangannya warganegara Malaysia berumur 41.
“Susulan kes berkenaan, Sultan Selangor telah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengkaji semula had umur perkahwinan bagi orang Islam di Selangor.
“Selain itu, peruntukan ini juga selaras dengan tafsiran kanak-kanak dibawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukan bahawa kanak-kanak ialah seorang berumur di bawah 18 tahun,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan pada Sidang DUN hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pindaan RUU berkenaan juga memperuntukkan agar permohonan perkahwinan lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada hakim syarie di negeri ini.
Katanya, RUU itu turut mempertimbangkan untuk memberi kebenaran untuk berkahwin yang mana Mahkamah Syariah hendaklah mengutamakan kebajikan lelaki atau perempuan kurang daripada umur 18 tahun supaya perkahwinan tersebut tidak menyebabkan kemudaratan kepada lelaki atau perempuan.
Menurutnya, peruntukan ini juga menekankan keperluan bagi ibu atau bapa atau penjaga untuk bertindak sebagai pemohon bagi pihak anak-anak bawah umur minimum hendaklah menyertakan suatu afidavit oleh ibu atau bapa atau penjaga.
“RUU ini juga memperuntukkan supaya laporan kesihatan lelaki dan perempuan, laporan sosio ekonomi dan rekod jenayah kedua-duanya dari Hospital kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.
“Selanjutnya RUU ini juga memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk memerintahkan lelaki atau perempuan dibawah umur 18 tahun menjalani sesi runding cara kekeluargaan sebagai persediaan untuk menghadapi alam perkahwinan,” katanya.
Amirudin berkata, pindaan dibuat bagi menambah baik proses permohonan kebenaran perkahwinan bawah umur melibatkan kanak-kanak di Mahkamah Syariah dan akan dijalankan dalam mahkamah tertutup.
Selain itu, ia bagi memastikan setiap kanak-kanak lelaki atau perempuan yang bercadang untuk berkahwin dinilai daripada aspek mental, jasmani, sistem reproduksi, akhlak dan sosiologi.
Pada Isnin lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan wanita daripada 16 kepada 18 tahun.
Sultan Selangor bertitah, baginda memandang serius kes-kes melibatkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan kerana bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak. – K! ONLINE











