ISKANDAR PUTERI 24 Sept. – Kerajaan negeri berhasrat untuk mengkaji semula pelaksanaan kerjasama ekonomi antara Singapura, Johor dan Indonesia atau lebih dikenali sebagai SIJORI bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri ini terus berkembang.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, konsep berkenan walaupun sudah lama namun kekal relevan sehingga kini.
Katanya, Johor khususnya di Iskandar Malaysia mempunyai kelebihan menerusi sudut lokasi yang membentuk segi tiga antara tiga buah negara terlibat.
“Sekarang adalah dunia global di mana setiap pihak perlu bekerjasama khususnya dengan jiran terdekat mereka dalam pembangunan ekonomi.
“Kita perlu gunakan kelebihan negara-negara jiran untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri ini terus dipertingkat selari dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Big Wheel Seedbank di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan Big Wheel, Michael Chang.
Sementara itu, Wee Tse turut memaklumkan sebuah syarikat Singapura berminat untuk melabur sebanyak RM300 juta di Iskandar Malaysia.
“Syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat elektronik yang memiliki kilang di beberapa negara dalam rantau ini dan mereka berminat untuk membangunkan kilang baharu di sini.
“Jumlah pelaburan bernilai RM300 juta dengan 500 peluang pekerjaan ditawarkan yang mana keutamaan diberi kepada rakyat tempatan,” ujarnya.










