IPOH – Kerajaan negeri boleh memberikan tanah berstatus hak milik kekal sekiranya wujud ‘keadaan khas’ atau dipanggil ‘special circumstances’, kata bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof.
Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan didialogkan di dalam Majlis Tanah Negara (MTN) pada bulan Disember 2008.
“Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) telah dikeluarkan pada bulan Januari 2009 yang memberi contoh ‘special circumstances’, salah satunya adalah ‘tanah tersepit’ iaitu tanah keliling semuanya geran kekal namun ada individu telah memohon tanah tersepit itu. Jadi, KPTG melalui arahan MTN itu boleh dijadikan ‘special circumstances’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel program Bicara Harapan Rakyat Siri 1: Hala tuju dan Masa Depan Negeri Perak bertajuk Keadilan Sosial dan Demokrasi di sini hari ini.
Tiga lagi panel yang turut bersama dalam bicara tersebut termasuklah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; bekas Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Datuk Abu Zar Omar; peguam cara dan peguam bela di Tetuan Wan & Wan, Wan Koon Seng yang dipengerusikan oleh moderator, Dekan Fakulti Kejuteraan dan Ahli Senat Universiti Teknologi Petronas, Prof. Madya Dr. Fakhruldin Mohd. Hashim.
Sementara itu, Abu Zar berkata, hak pemilikan tanah kekal itu boleh diberikan mengikut Seksyen 76(aa) subseksyen(iii) Kanun Tanah Negara(KTN) jika berlaku keadaan tertentu atau ‘special circumstances’.
“Di dalam KTN, hak milik ada dua jenis sahaja iaitu bertempoh iaitu 30, 60 atau sehingga 99 tahun serta tidak bertempoh iaitu kekal selamanya.
“Apa yang menjadi isu dan polemik sekarang adakah Kampung Baru, Kampung Tersusun dan penempatan Felda termasuk dalam ‘keadaan khas’ yang melayakkan penduduknya menerima geran hak milik kekal,” katanya. – Bernama










