GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan mahu melihat lebih banyak respons positif daripada penggiat industri perumahan susulan pengumuman bahawa perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap dapat melihat sekurang-kurangnya beberapa perubahan harga rumah pada masa depan memandangkan kerajaan tidak mengutip cukai ke atas perkhidmatan pembinaan.
Beliau menjelaskan bahawa harga kereta turun sejak pelaksanaan SST dan harus ada respons positif daripada sektor perumahan.
“Kami harap terdapat sekurang-kurangnya beberapa perubahan pada harga rumah dan menjangkakan dapat melihat sambutan positif pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.










