Kenapa resah tak bertempat? - Utusan Malaysia

Kenapa resah tak bertempat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rupa-rupa terdapat kelompok yang tidak senang apabila melihat kemesraan UMNO dan Pas di Muktamar Tahunan Pas di Kuala Terengganu. Mereka resah gelisah dan duduk tidak diam. Ada sahaja ulasan diberikan bagi memperlekehkan kerjasama tersebut.

Dalam Barisan Nasional (BN), MCA membayangkan BN akan ‘hancur’ dan `hilang’ sekiranya Pas terus bekerjasama dengan UMNO manakala dalam Pakatan Harapan ada antara mereka menuduh Pas telah lari dari perjuangan asal.

Pelik dan aneh kenapakah dua kelompok ini resah tidak bertempat? Kalau mahu dikira BN `hancur’, sebenarnya BN sudah lama menuju kehancuran apabila MCA yang `mendabik dada’ sebagai antara parti pengasas gabungan itu ditolak sedikit demi sedikit oleh pengundi-pengundi kaum Cina bermula 2008.

Malah BN sudah lama menuju kehancuran apabila MCA bagaikan tidak keruan untuk meraih sokongan kaum tersebut yang lebih selesa menyebelahi DAP. Justeru itulah kadang kala kita lihat MCA terpaksa mengikut rentak DAP dalam berpolitik.

Kalau benar MCA sentiasa berpegang kepada semangat BN seperti mana kata Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sudah tentu mereka tidak akan cuba `meniru’ politik DAP termasuklah dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) apabila ada pemimpin MCA mendakwa tiga pemimpin dalam Pakatan Harapan iaitu Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menjadi penghalang kepada usaha pengiktirafan sijil berkenaan.

Banyak lagi contohnya lain yang menunjukkan sebenarnya bukanlah kerjasama UMNO-Pas yang akan menyebabkan BN ‘hancur’ tetapi disebabkan pengundi-pengundi Cina akan terus menolak MCA. Jadi janganlah mengambil jalan mudah untuk menyalahkan atau melihat apa jua tindakan UMNO menjadi punca BN ditolak rakyat.

Orang Melayu masih bersama UMNO dan Pas tetapi orang Cina sudah tidak menerima MCA dan Gerakan. Dan yang lebih aneh kalaulah MIC bersedia bekerjasama dengan Pas kenapakah MCA tidak menerima kerjasama UMNO-Pas?

Begitu juga dengan puak-puak yang resah dalam Pakatan Harapan. Mereka tahu apabila dua parti Melayu itu bergabung ia akan mewujudkan satu kuasa poltik orang Melayu yang cukup hebat. Kalau mereka mengatakan ia hanya mendatangkan kerugian kepada parti terlibat,  duduklah diam-diam, kenapa resah? Kalau UMNO dan Pas rugi bukankah mereka akan untung?

Lagipun adakah apabila Pas bekerjasama dalam Pakatan Rakyat yang DAP ada di dalamnya, Pas tidak dilihat lari dasar perjuangannya? Adakah ketika itu semua komponen dalam pakatan menyokong perjuangan Islam Pas?

Sebenarnya mereka takut orang Melayu menyokong UMNO-Pas secara menyeluruh sebab itulah mereka membuat andaian yang bukan-bukan. Dalam soal sokongan 20 peratus daripada pengundi bukan Melayu,  ia tidak perlu dibimbangkan. 

Percayalah ia akan datang sendiri apabila kerjasama UMNO-Pas meraih sokongan padu orang Melayu. Apa yang berlaku selepas PRU-14 lalu sudah menjadi bukti, BN ditinggalkan termasuklah oleh komponennya sendiri apabila sudah tidak lagi ada kuasa.

Jadi biarkan sahaja mana-mana juga pihak mahu resah tidak bertempat. Apa yang penting kerjasama UMNO dan Pas perlu diperkukuhkan, demi masa depan orang Melayu dan umat Islam,walaupun ada kalangan sesetengah Melayu sendiri masih `mahu mengemis’ pengundi lain untuk kembali berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN