Kenali simptom awal anemia - Utusan Malaysia

Kenali simptom awal anemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA mungkin sering kali mendengar perkataan anemia. Malah, apabila kita berasa pening atau lesu, ramai dalam kalangan rakan-rakan memberitahu kita mengalami gejala anemia.

Namun, apakah sebenarnya anemia? Adakah ia mampu mengancam tahap kesihatan tubuh badan kita?

Bagaimana kita boleh terkena serangan anemia? Adakah ia disebabkan oleh keturunan atau pun kerana faktor pemakanan seharian?

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua persoalan tersebut mungkin akan menjelma dalam benak fikiran sebaik kita disahkan mengalami gejala tersebut oleh doktor.

Menurut Ketua Unit Pusat Penyelidikan Penyakit Buah Pinggang Kronik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Azreen Syazril Adnan, gejala anemia merupakan situasi berlakunya kekurangan bekalan darah di dalam badan disebabkan oleh beberapa faktor.

Jelasnya, kekurangan darah merupakan keadaan yang sering ditemui dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik.

Anemia juga merupakan keadaan di mana paras hemoglobin dalam darah pesakit berada pada tahap yang rendah.

“Hemoglobin merupakan sel yang bertanggungjawab mengangkut oksigen ke sel-sel dalam tubuh manusia.

“Paras hemoglobin yang normal bagi lelaki dewasa adalah 13 gram/desiliter (g/dL) ke atas, manakala bagi wanita dewasa adalah 12g/dL ke atas.

“Apabila paras hemoglobin rendah, darah yang mengandungi oksigen tidak dapat diangkut ke organ penting seperti otak dan jantung manusia, sekali gus menyebabkan seseorang individu itu boleh kejadian ‘pitam’ atau pengsan selain serangan jantung,” katanya.

Menurut beliau lagi, hemoglobin dihasilkan di sum-sum tulang manusia dengan penghasilannya memerlukan zat besi, vitamin B12, asid folik dan hormon eritropoietin.

Buah pinggang

Hormon eritropoietin pula dihasilkan di buah pinggang dan individu yang mengalami kerosakan buah pinggang akan turut menjejaskan penghasilan hormon tersebut.

“Buah pinggang menghasilkan hormon yang dipanggil eritropoietin yang terlibat secara aktif dalam proses sintesis hemoglobin atau sel darah merah di sum-sum tulang manusia.

“Pesakit yang menghidap diabetes terdedah kepada kerosakan buah pinggang dan seterusnya menyebabkan pengeluaran hormon ini turut terjejas.

“Pesakit buah pinggang kronik pula sering terdedah kepada kekurangan vitamin tersebut dan perlu mengambil suplemen zat besi, asid folik dan vitamin B kompleks bagi meningkatkan paras hemoglobin,” katanya.

Tambah beliau lagi, bahan kumuh seperti urea yang tinggi di dalam tubuh pesakit buah pinggang kronik turut menyebabkan jangka hayat sel darah merah berkurangan, sekali gus menyebabkan paras hemoglobin semakin rendah.

Faktor lain penyebab anemia (selain penyakit buah pinggang kronik) termasuklah;

a) Kekurangan zat besi

b) Menstruasi/haid dalam kalangan wanita untuk tempoh yang lama dan kehilangan darah yang banyak

c) Gastrik yang serius (luka dalam perut yang serius)

d) Masalah di dalam sum-sum tulang

e) Kanser darah

Menurut beliau, terdapat beberapa simptom awal yang boleh dikenal pasti sekiranya seseorang individu itu mengalami anemia antaranya ialah badan berasa lesu, kehilangan daya tumpuan, sakit dada dan pitam.

Justeru, beliau menasihati mana-mana individu yang mengalami simptom tersebut agar merujuk kepada pakar perubatan yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat dan siasatan lanjut bagi mendiagnos masalah anemia dan mengenal pasti punca penyakit tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini