KENINGAU – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai cadangan menjadikan susu segar bermutu tinggi ‘Eco – Yap Fresh Milk’, yang dikeluarkan di ladang Keningau, di sini untuk dibekalkan ke sekolah-sekolah di negara ini.
Katanya, perbincangan dengan kementerian berkenaan perlu sebelum cadangan itu dibawa ke kabinet memandangkan ia melibatkan peruntukan besar.
Cadangan membekalkan susu segar ke sekolah-sekolah itu boleh dijadikan dasar yang bertujuan meningkatkan kecergasan pelajar dan seumpamanya, katanya kepada Bernama selepas melawat Ladang Tenusu Yun Fook Resources Sdn. Bhd. di sini.
Produk tenusu yang dihasilkan di ladang itu turut menerima pujian Konsul Jeneral China di Sabah Liang Caide baru-baru ini yang menyifatkannya sebagai sangat berkualiti dan diterima di pasaran global seperti di China.
Ladang tenusu Yun Fook Resources Sendirian Berhad bermula hanya dengan dua ekor lembu pada 1982, tetapi kini memiliki kira-kira 5,000 ekor dan mampu mengeluarkan empat juta liter susu sebulan, sekali gus meletakkan syarikat itu diiktiraf sebagai antara peneraju lembu tenusu di peringkat Asia dan global. – Bernama










