KUALA LUMPUR 28 Sept. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bantahan awal Datuk Khairuddin Tarmizi dari Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan petisyen pilihan raya oleh calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, G. Manivannan.
Dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bermakna kemenangan Khairuddin diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun diisytiharkan adalah sah.
Mahkamah menetapkan kos RM10,000 untuk dibayar oleh Manivannan.
Pada 18 Jun lalu, Manivannan memfailkan permohonan petisyen pilihan raya setelah tidak berpuas hati dengan kemenangan Khairuddin dengan majoriti 741.
Khairuddin, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR yang dinamakan sebagai pihak defendan bagaimanapun memfailkan permohonan untuk membatalkan petisyen Manivannan atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen tersebut.
Pihak defendan juga menyatakan, penyampaian petisyen itu gagal mematuhi kaedah penyampaian yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Pilihan Raya 1954. – UTUSAN ONLINE











