PETALING JAYA – Ketika ramai tertumpu kepada pertarungan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan datang, perpecahan dikatakan mula timbul dalam kem Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bagi jawatan Ketua Pemuda parti berkenaan.
Jawatan tertinggi dalam sayap itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Akmal Nasir (kem Rafizi), manakala dua pencabarnya, Dr. Afif Bahardin dan Najwan Halimi (kem Mohamed Azmin).
Akmal ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, sementara Afif ialah Exco Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya serta Najwan ialah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ADUN Kota Anggerik di Selangor.
Sumber berkata, perpecahan berlaku dalam kem Mohamed Azmin kerana Najwan menolak tawaran Afif untuk jawatan Naib Ketua Pemuda.
“Najwan berhasrat bertanding sebagai Timbalan Ketua Pemuda PKR di bawah Afif. Afif enggan menerima hasrat Najwan memandangkan sudah mempunyai calon lain untuk jawatan Timbalan Ketua Pemuda PKR iaitu ADUN Gombak Setia, Hilman Idham.
“Mereka berdua (Afif dan Hilman) sudah lama bergerak bersama di peringkat akar umbi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today semalam.











