Kelangsungan UMNO? - Utusan Malaysia

Kelangsungan UMNO?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak 9 Mei 2018, suasana politik tanah air sudah berubah. Fenomena keluar parti bukan baharu malahan ada yang membuka parti sendiri. Sejarah penubuhan Parti Negara, Semangat 46 (S46), Parti Keadilan rakyat (PKR) dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) adalah serpihan daripada parti UMNO sendiri kerana satu faktor: Kepimpinan.

Hari ini parti yang dianggap mewakili orang Melayu sudah terbahagi kepada lima: PKR, UMNO, Pas, PPBM dan Amanah. Ini juga memerihalkan sokongan dalam PRU-14 apabila pengundi Melayu kepada BN adalah 46 peratus (%); Pas 28% dan PH 26%; Pengundi Cina 2.4% kepada BN berbanding 93% untuk PH; dan pengundi India 26% kepada BN berbanding 63% kepada PH walaupun ada tafsiran dapatan data yang berbeza.

Setiap kali UMNO berhadapan dengan krisis, ia kehilangan lebih banyak kerusi. Dalam PRU 1990, UMNO hanya menang 71 daripada 102 kerusi; PRU 1999 UMNO menang 72 daripada 104 kerusi; PRU 2008 UMNO menang 79 daripada 117; dan PRU 2018 UMNO menang hanya 54 kerusi daripada 121 kerusi yang ditandingi.

Dalam PRU-14 ini, UMNO kalah 28 kerusi kepada PKR, lapan kepada PPBM, satu kepada DAP, enam kepada Warisan, 18 kepada Pas dan enam kepada Amanah. Kesannya juga wujud di kerusi kawasan Felda di mana BN hanya menang 27 kerusi berbanding 46 pada PRU-13.

Apakah kesemua 49 kerusi Parlimen UMNO dan tiga dari kerusi komponen BN akan kekal sehingga PRU-15? UMNO kini terluka. Satu ketika ia gah dan megah dengan gerombolan tenaga yang sentiasa bersedia untuk perang. Hari ini, selepas bedilan 9 Mei, parti masih terpinga-pinga mencari kepastian masa depan dan hala tuju parti.

Tersepitkah UMNO dalam pergelutan dalaman dan berhadapan dengan desakan luaran sehingga hilang hala tuju? Kesetiaan diuji; wa’la pada parti seolah-olah diingkari; ada juga menjadi hero parti dan ada pula menjadi benteng institusi kepresidenan manakala ada yang melakukan pembunuhan karakter di luar parti.

Apakah kata-kata ‘setia’ masih relevan atau ia hanyut dalam bayangan kekaburan perjuangan parti hari ini? Ada yang baik telah dibuang; ada yang kotor masih bermaharajalela dalam parti, kata ahli. Hikmah tumpasnya UMNO adalah untuk membersihkan parti.

Kuasa, wang, pangkat dan kedudukan dikatakan telah mengaburi perjuangan asal UMNO sehingga tersungkur. Benarkah perjuangan baharu perlu diterokai dalam kemuraman parti agar ia kekal semangat yang sama dalam entiti berlainan wajah?

Dalam persekitaran sebegini rupa, UMNO tersepit atau layuh sehingga ada yang melabel sudah nazak, lumpuh, tenat, kritikal, hancur dan tinggal untuk ditalkinkan. Mengapa?

Pertama, sebelum PRU-14, bekas presiden Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak dipertanggungjawabkan atas kelemahan parti sehingga tewas dalam pilihan raya tersebut. Pasca-Najib, adakah wajar beliau terus menjadi bahan politik; atas kegagalan segera untuk mereformasi sikap dan nilai parti atau pernahkah strategi gerila diatur untuk berhadapan dengan suasana politik baru?

Ketika Najib berhadapan dengan pelbagai dakwaan, parti dilihat membenarkan pihak lawan mengheret UMNO bersama kerana sukar memadamkan sejarah hitam 9 Mei dan masih terkejut tanpa boleh membuat keputusan berani walau tidak popular?

Kedua, sejarah 72 tahun UMNO bergantung kepada ‘kepimpinan’. Hala tuju parti berdiri di sebalik gaya kepimpinan pemimpin yang menerajuinya. Kali pertama berwajahkan pembangkang diakui sukar apatah lagi DNA sebelum ini hanya sebagai ‘pemerintah’.

Dalam suasana krisis, pemimpin perlu stabilkan parti dan membawa keluar daripada keadaan tidak menentu, menjamin masa depan dan hala tuju yang bersesuaian dengan iklim perubahan. Empat bulan pasca PRU-14, ada ahli menamakan parti seumpama ‘hidup segan, mati tak mahu’.

Bahana kelesuan kepimpinan menyebab UMNO merekah dan kini terus diasak. ‘Semak dan imbang’ sebagai pembangkang juga terjejas.

Kekuatan politik

Ketiga, PH tidak menang semuanya, UMNO tidak kalah semuanya. Undi popular PH adalah 48.3% dan undi popular BN adalah 34.7% manakala Pas 17% membawa kepada 51.7% undi popular parti pembangkang hari ini. Sokongan dalam kalangan pengundi Melayu kepada BN adalah 46%; PH 26% dan Pas 28%. Undi UMNO dikatakan ialah 2.5 juta; Amanah 640,000, Pas 2.04 juta dan Bersatu 700,000.

Kerusi UMNO menjadi rebutan kerana asas dalam politik Malaysia adalah kekuatan politik Melayu. UMNO sendiri memilih untuk berada dalam keadaan tersepit kerana keghairahan mahu membentuk ‘kerajaan gabungan’ sedangkan pemimpin perlu membina kelangsungan kekuatan yang ada untuk mengancam persaingan musuh politik.

Keempat, adakah penggabungan ke arah politik gabungan terbesar baharu menjadi keutamaan menyebabkan UMNO temui jalan buntu memperkasakan parti? Mampukah power play oleh beberapa aktor politik tanah air dikatakan akan membawa kepada gagasan politik baru dibina semudah itu dengan sorakan harapan kepada pengikut oleh pemimpinnya.

Manifestasi grand design ini bergantung kepada legitimasi politik dan moral kesemua yang terbabit: pemimpin dan parti serta reaksi pengundi. Maka, dikatakan akan menjelma politik campuran baru; sesuatu yang akan diuji untuk masa depan Malaysia. Jika benar, apakah perhitungan UMNO. Adakah untuk menyelamatkan pemimpin, parti, ahli atau perjuangannya?

Cinta tiga segi antara UMNO, PPBM dan PKR barangkali serasi kerana tidak dinafikan dari rumpun akar yang sama; pemimpin induk pengantara ketiga-tiga parti dikatakan bekerja keras mencari ‘angka’ untuk dibawa bersama di sebalik bisikan konspirasi semata-mata, tetapi transisi kali ke-II antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa kepada seribu kemungkinan dalam politik tempatan.

Kelima, ada sebilangan pemimpin yang menyoal kerjasama dengan parti Pas, sekutu hari ini. Sebelum kerjasama dengan Pas dibuat dengan lebih terperinci, apakah kepimpinan UMNO telah menilai kemampuan untuk melakukannya termasuk mengambil kira kerjasama 1974-1978 yang membawa kepada kemelut sesama mereka?

Peratusan sokongan dalam PRU-14 oleh PH menunjukkan keupayaannya menang adalah kerana bersifat sederhana, tengah, inklusif dan adil. Ada sebilangan yang khuatir ‘kerjasama parti pembangkang’ akan membawa kepada ‘kerjasama perjuangan’ yang boleh menghakis sokongan dari aspek yang lain, menyanggahi budaya politik nasional semasa atau memilih untuk berada dalam kepompong lama. Politik baharu adalah politik kesederhanaan dalam kepelbagaian demografi dan geografi tanah air.

Keenam, tindakan keluar parti beberapa pemimpin dan jika diikuti oleh yang lain wajar dilihat sebagai isyarat ‘protes’ ke atas ketiadaan ‘kepimpinan’ sepanjang empat bulan yang lalu. Pemimpin atasan sendiri akui kerancakan tidak ada dan lembab menyebabkan sesiapa sahaja membolosi dinding parti.

Ketujuh, pengukuhan dalam tidak jelas atau ketara khususnya rejuvenasi dengan penyesuaian ke atas aliran baru demografi dan geografi politik tanah air. Isu 1MDB merasuk sehingga di luar kawalan apatah lagi sehingga ke lubang cacing digerakkan pencarian salah laku.

Angkara siapa UMNO terpalit dengan cemuhan dan kecaman kebelakangan ini sehingga dikatakan tenat dan lumpuh? Berlakukah pembauran pengkaderan parti dan diberi laluan untuk menggerak masa depan parti?

Kelapan, defisit kepercayaan dan keyakinan membelenggu UMNO dengan kewibawaan kepimpinan menjadi pertanyaan. Bersifat kolektif pada perjuangan tidak akan membuat UMNO berada dalam keadaan tersepit jika diselaputi dengan integriti politik dan sentiasa bersedia menangani perang psikologi dan psikik politik tanah air, bangsa dan agama; bukan kuasa, kedudukan dan wang.

Kewibawaan pemimpin akan terserlah jika membawa keluar pasukannya daripada krisis keyakinan dan kepercayaan dalam dan luar parti.

* PENULIS ialah Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN