Kekurangan bukan penghalang atlet para - Utusan Malaysia

Kekurangan bukan penghalang atlet para

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kelemahan atau kecacatan tidak seharusnya dijadikan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan kerana setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri, kata atlet para negara, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin.

Atlet olahraga itu yang mengalami masalah pembelajaran berkata, kebanyakkan golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak perlu berasa malu dengan kekurangan fizikal atau mental yang dialami tetapi seharusnya bangkit mencungkil bakat dan keistimewaan dalam diri masing-masing.

Atlet berasal dari Johor Bahru itu berkata, bilangan atlet pelapis para di Malaysia masih berkurangan mungkin kerana golongan OKU masih mempunyai perasaan malu untuk mendedahkan kekurangan atau kecacatan mereka di khalayak ramai.

“Jangan malu dengan ketentuan Tuhan. Apa yang kurang pada kita, kita kena cari kelebihan pada diri kita. Kita sendiri perlu cungkil kerana (saya percaya) setiap orang mempunyai bakat tersendiri.

“Kita seharusnya redha dan jangan mudah mengalah. Setiap kelemahan pasti ada kelebihan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Atlet yang mesra dengan panggilan Siti, kini sedang giat menjalani latihan demi matlamat untuk meraih pingat di temasya Sukan Para Asia 2018 yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia bermula 6 hingga 13 Oktober depan dalam acara yang disertainya iaitu 400 meter (m) wanita.

“Semangat untuk membawa pulang pingat emas amat tinggi tetapi untuk menjanjikannya tidak begitu mudah kerana saingan pada temasya tahun ini sangat sengit berbanding temasya yang sama empat tahun lepas,” katanya yang memenangi pingat emas bagi acara 400m Wanita T20 di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Bagaimanapun, katanya sokongan serta motivasi daripada orang sekeliling termasuk jurulatih, R. Jeganathan dan suami, Muhammad Hafiz Abu Bakar menjadi pendorong utama beliau untuk mengharumkan nama negara.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik kali ini demi diri sendiri, orang sekeliling dan juga negara,” tambahnya.

Temasya Sukan Para Asia 2018 mempertandingkan sebanyak 18 acara sukan antaranya acara olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, basikal, angkat berat, menembak, renang, bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda dan lawan pedang berkerusi roda. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN