Kegagalan e-undi: Jangan tuding jari - Saifuddin - Utusan Malaysia

Kegagalan e-undi: Jangan tuding jari – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 24 Sept. – Kalangan pemimpin serta anggota PKR tidak seharusnya menuding jari terhadap mana-mana individu berikutan kegagalan sistem e-undi beroperasi secara sempurna sehingga menimbulkan kekecohan dalam pemilihan parti itu kelmarin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan untuk menjalankan pemilihan menerusi sistem itu dibuat secara kolektif setelah dibentangkan secara telus kepada semua pimpinan parti sebelum ini.

“Jadi apa yang terjadi ini merupakan tanggungjawab bersama.Tiada pihak perlu dipersalahkan secara berseorangan kerana Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang mengendalikan pemilihan ini bukan ditubuhkan oleh mana-mana individu atau Saifuddin Nasution.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebaliknya JPP ditubuhkan parti iaitu oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik. Itu perkara paling asas dan saya fikir semua pemimpin parti tahu mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kolej Mara Kulim di sini, hari ini.

Saifuddin mengulas kelantangan calon Ketua Wanita PKR, Haniza Talha serta calon Ketua Pemuda, Dr. Afif Bahardin yang mendesak supaya beliau dan JPP bertanggungjawab terhadap kegagalan sistem tersebut serta kekecohan yang berlaku.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin Haniza sendiri tahu mengenai perkara itu memandangkan beliau merupakan salah seorang daripada anggota MPP.

“Saya tegaskan, JPP tidak membangunkan sistem e-undi ini secara terpisah atau sulit. Segalanya dibentang kepada biro politik dan MPP.

“Sebab itu kalau ada kelemahan, sila salurkan kepada perbincangan parti terutamanya dalam mesyuarat biro politik malam esok,” katanya.

Mengenai persoalan ditimbulkan Haniza berhubung sikapnya yang dikatakan tidak ‘neutral’ kerana menyatakan sokongan terhadap calon tertentu, Saifuddin berkata beliau memilih untuk menjawabnya menerusi saluran parti.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini