SUNGGUH menyelerakan dan sangat sedap, itulah justifikasi yang boleh diberikan selepas menikmati makanan laut segar di restoran D’Johan Delicacies yang sangat terkenal dengan masakan ala Cina tetapi turut menepati selera orang Melayu.
Jika berkunjung ke restoran yang terletak PT 48310, Jalan Impian Jaya, Persiaran Saujana Impian, Sungai Kantan, Kajang, Selangor itu, pastikan anda menempah ketam nipah masak ‘chilli garlic’ atau udang kara masak ‘wet butter salted with cheese’ yang sungguh enak selain pelbagai pilihan ikan segar.
Pemilik restoran D’Johan Delicacies, Datuk Johan Wan Khairil Adli Mohd. Yusoff, 40, berkata, antara hidangan utama yang mendapat permintaan tinggi ialah udang kara, ketam nipah, kari kepala ikan dan sup ketam bersama sirip ikan yu (vegetarian).
Menurutnya, bagi pelanggan yang mahu mencari kelainan boleh memesan hidangan udang kara masak kari kerana kuahnya yang pekat dengan aromanya yang memukau sungguh sedap dimakan bersama nasi panas.
Katanya, hidangan udang kara masak tomyam juga mampu menambat selera pengunjung dengan rasa masam pedas kuah tomyam. Sudah tentu membuatkan pengunjung berpuas hati sejurus menikmati hirupan pertama.
“Kepuasan pelanggan memang menjadi keutamaan kami, terutamanya kepada penggemar makanan laut segar dari Sabah namun ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan seperti udang kara, ketam, ikan-ikan seperti kerapu tikus, kerapu bara, kerapu biasa, ikan merah, jenahak, siakap, ikan putih dan kod merah laut dalam. Tempahan ikan dari Sabah akan tiba seminggu sekali.
“Kita juga menyediakan udang laut segar, lala hamaguri yang isinya lebih padat, bamboo lala dan siput tarik iaitu makanan istimewa dari Sabah yang dihidangkan bersama sos cili pedas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Wan Khairil Adli memberitahu, pelanggan boleh memilih menu secara ala carte atau set A hingga E yang bermula dari harga RM38 hingga RM478. Hidangan set yang lebih menguntungkan bermula dari set B hingga E kerana pelanggan boleh menambah air dan nasi secara percuma.
Jelasnya lagi, udang kara yang dijual mengikut berat dan jenis dari 640 gram hingga 800 gram pada harga bermula RM30 atau RM192 hingga RM240 untuk 100 gram (siap dimasak) manakala bagi ketam nipah pula berat dari 300 gram hingga 600 gram pada harga RM10 bagi setiap 100 gram dan harga bermula dari RM30 hingga RM50.
“Di sini ketam nipahnya masih hidup dan pelanggan boleh memilih sendiri di dalam akuarium manakala bagi ketam bunga pula dijual RM25 seekor. Pelanggan boleh memilih untuk dimasak ala Thai, Melayu atau Cina,” katanya.
Menurutnya, walaupun turut menyediakan masakan ala Barat seperti chicken chop dan barbeku kambing, pengunjung selalunya lebih gemar memilih makanan laut kerana restoran D’Johan Delicacies memang dikenali dengan hidangan laut segar.
Wan Khairil Adli berkata, pelanggan digalakkan membuat tempahan lebih awal supaya mereka tidak perlu menunggu lama terutamanya pada waktu cuti umum atau musim perayaan apabila biasanya pelanggan datang serentak pada satu-satu masa.
Sementara itu, Chef Mohd. Al Shafiq Balbuena, 46, yang berpengalaman selama 30 tahun dalam masakan ala Cina memberitahu, semua makanan hanya akan dimasak apabila ditempah oleh pelanggan bagi menjaga kesegarannya.
Dia turut berkongsi rahsia masakannya iaitu hidangan udang kara dan ketam nipah akan dikukus terlebih dahulu dan bukannya digoreng untuk memastikan kesegaran isinya dapat dikekalkan sebelum sosnya dimasak mengikut kehendak pelanggan.
“Sebagai tukang masak, kepuasan saya ialah menyediakan masakan terbaik untuk setiap pelanggan kerana kepuasan mereka adalah keutamaan bagi saya, dan pelanggan boleh mengadu terus jika terdapat kekurangan,” katanya yang berasal dari Sabah.
Mohd. Al Shafiq bersama seorang lagi chef iaitu Rozaelly Asmat yang juga berasal dari Sabah mengajak orang ramai mencuba masakan mereka kerana setiap hidangan mempunyai keenakan tersendiri.
Katanya, turut mendapat permintaan tinggi ialah tomyam kelapa bersama makanan laut, kari kepala ikan, sup ketam, udang butter, sotong wet butter dan sambal ‘chilli garlic’.
Meskipun ada ketikanya mereka terpaksa memasak dalam tekanan kerana pelanggan datang serentak dalam satu-satu masa, mereka tetap berusaha menyiapkannya secepat mungkin agar setiap pelanggan berpuas hati.
Nama : Restoran D’johan Delicacies
Alamat : PT 48310, Jalan Impian Jaya, Persiaran Saujana Impian, Sungai Kantan, 43000 Kajang, Selangor.
Waktu operasi : 5 petang – 1 pagi (tutup setiap hari Selasa)
Telefon : 011-1092281










