LONDON – Liverpool terus memperkukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana England apabila mencatat kemenangan kelima berturut-turut untuk mengutip mata maksimum selepas menumbangkan Tottenham Hotspur 2-1 pada aksi malam tadi di Wembley.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp membuka tirai jaringan menerusi Georginio Wijnaldum yang menanduk masuk bola pada minit ke-39 biarpun penjaga gol Spurs, Michel Vorm berjaya mengeluarkan bola, namun teknologi garisan gol mengesahkan jaringan itu.
Jaringan tersebut berpunca daripada bola sepakan penjuru yang cuba dikeluarkan Vorm, namun melantun ke arah Wijnaldum yang tidak dikawal terus menanduk bola ke gawang Spurs yang gagal diselamatkan oleh Vorm.
Sebelum itu, Liverpool terlebih dahulu menggegarkan gawang Spurs menerusi jaringan Roberto Firmino pada minit pertama selepas menolak bola hantaran lintang James Milner tetapi gol tersebut dibatalkan kerana pengadil mengesan Sadio Mane berada pada kedudukan ofsaid.
Penjaring terbanyak Liga Perdana England musim lalu, Mohamed Salah juga turut berpe- luang untuk meledakkan gol pada minit ke-22 apabila menyambar bola yang gagal dihantar kemas oleh Eric Dier, namun rembatannya berjaya ditepis oleh Vorm.
Bersambung babak kedua, Spurs kembali menyusun permainan dan hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi Lucas Moura pada minit ke-50 selepas berjaya melakukan la-rian solo memperdayakan tiga pemain Liverpool sebelum rembatannya sekadar singgah di tiang gol.
Tersentak dengan ancaman tersebut, Liverpool kembali melakukan asakan dan selang empat minit kemudian, Roberto Firmino berjaya mencetak nama sebagai penjaring apabila me- nyudahkan hantaran lintang Mane selepas bola tersebut gagal ditangkap kemas oleh Vorm.
Spurs yang terus berusaha untuk mencari gol akhirnya mendapat gol saguhati menerusi pemain gantian, Erik Lamela yang masuk menggantikan Eric Dier apabila melepaskan rembatan kencang dari sudut kiri gawang Liverpool pada penghujung perlawanan susulan daripada sepakan penjuru.
Selain itu, faktor kepenatan jelas menghantui penggempur utama Spurs, Harry Kane apabila dia gagal mempamerkan aksi terbaik sekali gus gagal membantu pasukannya mengelak daripada mengalami kekalahan kedua da-ripada lima perlawanan setakat ini. – Agensi










