MUAR – Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan kira-kira RM15 juta untuk membangunkan dan menaik taraf infrastruktur sukan di daerah ini.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tumpuan penuh membangunkan dan menaik taraf infrastruktur sukan di kawasan itu bertujuan agar ia dapat dimanfaatkan orang ramai, sekali gus menjadi venue pelbagai acara pada masa akan datang.
“Kita telah memulakan kerja-kerja membaik pulih secara berperingkat seperti gelanggang futsal, bola jaring serta bola keranjang dan kita jangkakan projek membaik pulih ini dalam tempoh setahun, manakala stadium dan kolam renang akan ambil masa yang panjang.
“Bagi pembinaan infrastruktur baharu pula, kita bakal membangunkan kawasan sukan ekstrem serta memanah dan projek ini dijangka akan bermula pada tahun depan,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka 2018 di Tanjung Ketapang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali. – Bernama










