SERIAN 25 Sept. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun terpaksa menahan kesakitan selama tiga jam sebelum diselamatkan oleh bomba setelah kakinya tersangkut dalam lubang saluran air di bilik mandi rumahnya di Taman Pasir di sini hari ini.
Jurucakap bomba berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian telah dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi khas mengeluarkan kaki mangsa sebaik sahaja menerima laporan pada pukul 12.13 tengah hari.
Katanya, sebelum itu, usaha mengeluarkan kaki mangsa telah dibuat oleh ahli keluarganya, namun masih gagal lalu hubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Pihak bomba bertindak memecahkan simen lantai berdekatan sekitar kawasan lubang saluran air mengunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Pada masa sama, pasukan bomba turut mendapatkan khidmat pihak perubatan berada di tempat kejadian untuk membantu menenangkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Beliau berkata, setelah tiga jam, akhirnya usaha mengeluarkan saluran air berjaya dibuat.
Katanya, saluran air yang diperbuat daripada plastik tersebut kemudian dipotong menggunakan gergaji bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut.
Tambahnya, mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan serius pada kaki kanan yang tersepit.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 4.08 petang,” katanya.- UTUSAN ONLINE











