Kajian semula terhadap keberkesanan Program Podium - Utusan Malaysia

Kajian semula terhadap keberkesanan Program Podium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Sept. – Satu kajian semula akan dilaksanakan terhadap keberkesanan Program Podium berikutan kegagalan negara menempatkan diri dalam kalangan 10 negara terbaik pada temasya Sukan Komanwel Gold Cost dan Sukan Asia Jakarta/Palembang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan bagi menambah baik program sedia ada sebagai persediaan segera untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berbaki 23 bulan lagi.

Ujar beliau, pihaknya akan memanggil untuk perbincangan dengan Pengarah Program Podium, Timothy O’Brien Newenham bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) berikutan program berkenaan telah menerima peruntukan yang besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak kementerian telah mengarahkan pihak MSN dan ISN untuk mengadakan ‘post mortem’ seberapa segera untuk mengenal pasti isu-isu berbangkit supaya program podium sedia ada dapat ditambah baik dari aspek pengurusan dan pengendalian latihan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai prestasi kontijen negara dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang, Syed Saddiq berkata, meskipun negara berjaya mencapai sasaran minimum tujuh pingat emas namun beberapa jenis sukan telah gagal mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

Katanya, antara jenis-jenis sukan yang dianggap mengecewakan dan tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan adalah termasuk Silat, Karate dan Wushu.

“Kebergantungan kepada sukan-sukan subjektif untuk memungut pingat emas perlu dilihat semula memandangkan banyak faktor akan mempengaruhi keputusan semasa hari pertandingan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini