ALOR SETAR – Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan cubaan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun lapan bulan
pada Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang merupakan anak saudaranya kira-kira pukul 2 petang 17 Jun lalu dan pukul 5 petang keesokan harinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bukit Larek, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena di sini.
Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Terdahulu di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Juraidah Abbas atas pertuduhan cuba merogol kanak-kanak sama, juga di Kampung Bukit Larek kira-kira pukul 3 petang 16 Jun lalu. – K! ONLINE











