KUALA LUMPUR 16 Sept. – Jurang pendapatan rakyat akan terus meningkat pada masa hadapan dan bukan hanya antara kaum tetapi juga antara penduduk bandar dan luar bandar sekiranya tiada perubahan drastik dilaksanakan ke atas dasar monetari negara.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dalam masa sama, rakyat Malaysia juga perlu mengubah sikap dan gaya hidup yang suka berhutang dan berbelanja melebihi kemampuan.
Secara dasarnya, negara berpendapatan tinggi tidak akan dapat dicapai seperti disasarkan dan jangan terus menganggap status itu boleh dicapai semata-mata dengan mengukur kadar Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita tertentu, ujar beliau.
“Bagi saya, apa status sekali pun sama ada negara berpendapatan tinggi atau negara maju, kita tidak perlu terbeban dengan hutang melampu atau bergantung kepada negara lain untuk kelestarian ekonomi negara.
“Kita hanya akan mencapai status negara maju apabila rakyat memperolehi kemudahan pendidikan, kesihatan, infrastruktur yang bertaraf dunia, jurang pendapatan dan kekayaan makin mengecil dan kekayaan negara dikongsi oleh semua golongan dan bukan hanya segelintir pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam buletin suku tahun bertajuk Perbezaan Antara Prestasi Ekonomi dengan Sentimen Orang Ramai menggariskan lima faktor utama yang menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi tidak dapat dirasai oleh semua kelompok masyarakat.
Menurut BNM, pengagihan pendapatan rakyat yang tidak sekata, kos sara hidup meningkat, kemampuan memiliki rumah, kadar hutang yang tinggi dan persepsi rasuah mempengaruhi keyakinan rakyat terhadap kesejahteraan ekonomi Malaysia.
Pada 2017, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 5.9 peratus, iaitu tertinggi sejak 2014 hingga menerima pujian daripada Bank Dunia, sebagai ‘pertumbuhan yang ketara pesatnya’ dan menjangkakan Malaysia akan ‘mencapai status (negara) berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang’.
Jelas Ahmed Razman, pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bukan merupakan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup tetapi banyak faktor lain yang perlu diberi perhatian seperti kurangnya pemantauan terhadap harga barangan dan perkhidmatan yang dinaikkan sesuka hati oleh peniaga dan lambakan wang di pasaran disebabkan pemberian hutang oleh bank komersial secara berleluasa.
Dalam pada itu, Pengarah Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau di Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Firdaos Rosli berkata, jurang pendapatan akan terus berada di paras sedia ada kerana rakyat Malaysia, secara kolektifnya, perlu memutuskan perkara fundamental isu tersebut iaitu tahap kepercayaan rakyat kepada pemerintah.
Secara teori, katanya, perkara itu boleh diatasi jika pihak kerajaan mempunyai ruang yang cukup untuk campur tangan di dalam dasar fiskal yang berasaskan pengagihan pendapatan seperti menaikkan kadar cukai (terutama cukai tidak langsung), paras gaji minimum dan bantuan sara hidup.
“Bagaimanapun, rakyat juga mempunyai peranannya sendiri untuk menggunakan keupayaan mereka sebaik mungkin dalam meningkatan pendapatan. Sekurang-kurangnya, rakyat mesti menggunakan peluang-peluang yang sedia ada untuk menaikkan taraf pendidikan akademik dan vokasional supaya kadar gaji dan upah yang diperoleh adalah setimpal dengan kebolehan mereka,” katanya.
Menurut MIDF Research, di sebalik pertumbuhan upah dan gaji sebanyak lapan peratus pada tahun lalu, pertumbuhan gaji sebenar atau inflasi yang diselaraskan adalah 4.2 peratus disebabkan oleh kesan inflasi.
Katanya, peningkatan harga komoditi global dan pengenalan perubahan harga secara mingguan bagi harga minyak merupakan faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga secara menyeluruh pada tahun lalu.
“Sehubungan itu, diharapkan langkah kerajaan untuk menstabilkan harga bahan api dan melaksanakan SST dapat menyederhanakan inflasi pada tahun ini sekitar 1.3 peratus disokong oleh pertumbuhan upah dan gaji melebihi lima peratus,” katanya.











