JERANTUT 10 Sept. – Seorang penduduk di Felda Kota Gelanggi 2 menjual buah perah yang banyak didapati di kawasan hutan Taman Negara dan berdekatan Sungai Tembeling di sini demi menampung keluarganya.

Mohd. Simin Abdullah, 45, berkata, buah perah diproses untuk dijadikan jeruk sebagai sumber makanan dan juga dijual di pekan sehari di Felda itu serta sekitar perumahan di situ.
“Kebanyakan orang tua mahir memproses buah perah ini untuk menghilangkan getahnya menerusi kaedah tradisional iaitu dibuat jeruk.
“Saya mempelajari cara memprosesnya daripada ibu saya memandangkan buah ini boleh dikomersialkan untuk menampung pendapatan keluarga,” katanya di Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, buah perah memabukkan jika dimakan mentah dan perlu diproses dengan cara betul untuk menghilangkan getahnya.
Katanya, tumbuhan liar itu bermusim sama seperti pokok getah dan gugur ke tanah apabila sudah matang dan kering.
“Buah perah masih muda berwarna kelabu dan bertompok kemerahan, manakala bijinya berwarna putih. Apabila di peringkat matang, bijinya berwarna coklat tua seperti biji getah,” katanya.
Mohd. Simin berkata, buah perah yang siap dijeruk dijual RM8 selonggok dan laris dengan cepat berbanding dengan buah-buahan lain.
Kebiasaannya Mohd. Simin memperoleh antara RM80 hingga RM100 setiap kali buah perah jeruk dijual di sekitar kawasan Felda itu.










