KUALA LUMPUR 17 Sept. – Akhirnya jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan penyelewengan berbilion ringgit dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menonjolkan diri dalam alam siber.
Menerusi satu kenyataan yang mengalu-alukan kehadiran pelawat dalam laman sesawang www.jho-low.com, Jho Low mendakwa, beliau tidak bersalah terhadap segala tuduhan dilemparkan terhadapnya.
Beliau juga mendakwa tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri daripada tuduhan daripada pengendali blog tertentu, kebocoran maklumat tidak betul daripada agensi kerajaan di seluruh dunia atau dakwaan tidak berasas yang difailkan di mahkamah terhadapnya.
“Saya mungkin telah melakukan sesuatu perkara berbeza, seperti mana-mana anak muda tetapi kesilapan yang saya lakukan tidak membolehkan dakwaan yang membinasakan terhadap saya.
“Biar saya jelaskan, saya tidak bersalah,” katanya menerusi kenyataan yang ditandatanganinya dalam laman sesawang tersebut.
Laman sesawang itu berfungsi sebagai platform yang menyediakan maklumat berfakta, dokumen mahkamah dan perkara-perkara berkaitan Jho Low yang dikenal pasti banyak pihak sebagai individu terlibat dengan skandal 1MDB.
Menurut Jho Low, laman web itu menampilkan kisah sebenar dan fakta-fakta berkaitan yang tidak didedahkan selama ini.
Katanya, sebelum ini terlalu banyak fakta yang mahu menyalahkan dirinya berkaitan skandal tersebut.
“Saya hanya meminta semua pihak termasuk mahkamah, pendakwa raya dan orang ramai untuk bersikap terbuka sehingga semua bukti didedahkan,” jelasnya.










