NYON, Switzerland 28 Sept. – Jerman memenangi bidaan menjadi tuan rumah Euro 2024 selepas meraih undian tertinggu berbanding Turki dalam majlis yang berlangsung hari ini.
Keputusan diumumkan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin dalam masa sama ia menjadi kekecewaan paling menyakitkan buat Turki yang sebelum ini turut gagal terpilih menganjurkan kejohanan berprestij peringkat Eropah itu pada 2008, 2012 dan 2016.
“Proses yang dijalankan adalah telus, undi dibuat menerusi proses demokrasi.
“Bukan itu sahaja, setiap keputusan berdasarkan demokrasi adalah keputusan yang tepat,” kata Ceferin.
Jerman yang sebelum ini pernah menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan ketika dikenali sebagai Jerman Barat pada 1988, meraih undi tertinggi dalam kalangan 17 ahli jawatankuasa eksekutif UEFA.
Dalam pada itu, bekas kapten Jerman, Philipp Lahm yang dilantik sebagai duta bagi membida hak menjadi tuan rumah, berkata, kemudahan stadium bola sepak yang terbaik dimiliki negaranya membolehkan ia dinikmati bersama sepanjang Euro 2024 berlangsung.
“Kami mempunyai stadium menakjubkan, peminat yang sayang terhadap bola sepak.
“Paling penting kami mempunyai rakyat yang mahu meraikannya bersama negara Eropah yang lain,” katanya. – REUTERS











