KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan menggunakan khidmat 50 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mengesan dan memusnahkan jerat dawai yang dipasang pemburu haram di lima habitat utama harimau Malaya dalam masa terdekat ini.
Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, langkah itu turut terarah kepada usaha mengawal kemasukan pemburu haram ke dalam hutan sebagai sebahagian daripada pendekatan program konservasi yang digerakkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan agensi-agensi terlibat bagi melindungi hidupan liar berkenaan daripada diancam kepupusan.
Katanya, selain PGA dan ATM, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di samping pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga dijangka turut serta dalam program berkenaan.
“Saya difahamkan terdapat lebih 2,000 jerat dawai dipasang pemburu haram dan kita tidak cukup penguat kuasa untuk meronda di seluruh kawasan hutan negara yang luasnya sekitar 4.8 juta hektar. Sebab itu saya minta kementerian berbincang dengan agensi berkaitan untuk bersama-sama berkongsi maklumat dan tenaga.
“Kita akan bagi taklimat bagaimana mengesan dan memusnahkan jerat dawai. Usaha ini sekali gus diharap meningkatkan populasi harimau Malaya yang ketika ini dianggarkan cuma 350 ekor kepada 500 ekor dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) 2018 dan Senarai Merah Spesies Terancam di Auditorium Institut Oseanografi dan Sekitaran (Inos), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Yang hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar serta Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Persidangan julung kali anjuran UMT dengan kerjasama National Museum of Marine Boilogy & Aquarium, Taiwan itu bertujuan melonjakkan kepentingan pengetahuan terutama mengenai proses penilaian spesis terancam yang berlainan dari peringkat nasional ke antarabangsa di samping memahami keadaan terkini yang menyebabkan spesies berkenaan terancam.
Xavier memberitahu, ketika ini terdapat hanya 20 renjer Perhilitan dan 20 sukarelawan Dana Sedunia Untuk Alam Semula jadi (WWF) yang menjalankan kerja-kerja memusnahkan jerat dawai sebanyak dua kali setahun di hutan seluruh negara.
Dalam pada itu, katanya daripada keseluruhan 350 ekor populasi harimau Malaya, 40 ekor berada di Hutan Royal Belum, Perak manakala masing-masing 40 ekor di Pahang dan Kelantan.











