Jenazah 4 beranak selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah 4 beranak selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT 9 Sept. – Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan ngeri dengan sebuah treler di Kilometer 176, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, di sini semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Cuaca mendung mengiringi pengebumian pasangan suami isteri, Nizam Daud, 51, dan Nur Faizlin Jamaludin@ Samsudin, 37, serta dua anak mereka, Nur Naqiya, 6, dan Muhammad Niyaz, 2, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan tersebut ketika lebih 200 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kelihatan sebak tatkala menyaksikan satu persatu jenazah diturunkan ke liang lahad.

Terdahulu keempat-empat jenazah tiba di Surau Kampung Gemereh selepas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Segamat kira-kira pukul 8.30 pagi.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang semalam,  kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki lima beranak itu dirempuh sebuah treler tanpa muatan dari arah bertentangan.

Insiden tersebut menyebabkan empat beranak tersebut maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mereka, Muhammad Naqib, 9, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN