KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kerajaan tidak sewajarnya menggores perasaan rakyat yang menerima bantuan dengan menganggap mereka terlalu bergantung kepada ‘wang percuma’.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, rakyat tidak pernah mengharapkan sebarang wang percuma daripada kerajaan sebaliknya apa yang mereka peroleh selama ini adalah hasil daripada usaha diri sendiri dan berdasarkan prestasi ekonomi negara.
Justeru, katanya, kerajaan bertanggungjawab memulangkan sebahagian hasil pendapatan kepada rakyat yang telah banyak berkorban tenaga mencurahkan bakti kepada negara.
“Mungkin ada yang tidak sedar akan pembangunan dan sumbangan yang dikerjakan oleh rakyat selama ini, rakyat Malaysia kebanyakannya kurang mendapat kebajikan yang sewajarnya, bukan semua yang layak dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) atau bantuan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
“Kalau tidak boleh beri apa-apa insentif, tidak perlu keluarkan apa-apa kenyataan, rakyat tidak dapat wang percuma tetapi rakyat beri tenaga percuma kepada kerajaan, jadi janganlah rosakkan hubungan atau sakiti hati rakyat, jangan lupa wang yang kerajaan peroleh selama ini datangnya daripada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam yang mengatakan rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan akan memberi ‘wang percuma’ kerana negara ketika ini berdepan masalah hutang terlalu tinggi iaitu mencecah sehingga RM1 trilion.
Mengulas lanjut, Halim menegaskan, kerajaan tidak perlu menyalahkan rakyat semata-mata tetapi menghargai segala titik peluh yang mereka curahkan selama ini.
“Kalau nak beri insentif dalam bentuk lain pun tidak ada masalah, tetapi janganlah sampai tidak prihatin dengan kebajikan rakyat sedangkan rakyatlah yang mewujudkan kerajaan yang ada pada hari ini jadi rakyat berhak mendapat sesuatu daripada kerajaan,” katanya.










