SAUDARA PENGARANG, SAYA harap orang kaya khususnya ahli politik janganlah sesuka hati melabel orang miskin sebagai pemalas kerana kajian Bank Negara sendiri membuktikan gaji RM2,500 pun sukar untuk hidup di Kuala Lumpur.
Orang kaya yang tidak berdepan isu kos sara hidup seperti kami tidak sepatutnya ‘bermulut laser’ semata-mata untuk memenuhi agenda politik tidak mahu meneruskan bantuan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah.
Hakikatnya semua orang mempunyai rezeki sendiri, bukan sekadar bergantung kepada usaha semata-mata. Lahir sebagai anak orang kaya, apa lagi perlu diusahakan? Lahir tidak secerdik orang lain, maka usahanya mungkin perlu lebih.
Jangan ingat nelayan, petani dan pesawah itu kerjanya goyang kaki sementara tunggu hasil boleh dijual. Mereka tidak pernah meminta tetapi bersyukur jika ada yang mahu membantu.
Jangan lupa, ada juga mereka yang kamu kata ‘pemalas’ ini menjadi pengundi mengangkat muka-muka baharu naik ke atas. Sehina-hina orang miskin, hina lagi ahli politik yang lupa asal-usulnya.
ANAK NELAYAN
Serdang











