SEOUL 16 Sept. – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkunjung ke Korea Utara minggu ini untuk menghadiri sidang kemuncak dengan pemimpin negara itu, Kim Jong-un bagi memecahkan kebuntuan rundingan nuklear antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS).
Jae-in yang ibu bapanya melarikan diri dari Korea Utara semasa perang Korea, berlepas ke negara jirannya itu untuk lawatan selama tiga hari seperti pernah dilakukan Presiden Korea Selatan terdahulu, Kim Dae-jung pada 2000 dan Roh Moo-hyun pada 2007.
Maklumat lanjut tentang kunjungan itu tidak diberitahu, namun Pyongyang dijangka menarik balik semua bantahan untuk mewujudkan tanggapan baik di samping beribu-ribu penduduknya membanjiri jalan raya untuk mengalu-alukan ketibaan Jae-in.
Imej Jong-un dan Jae-in ketika sidang kemuncak pertama pada April lalu di Zon Bebas Tentera turut dipaparkan dengan ribuan penduduk Korea Utara yang berada dalam stadium May Day bertepuk tangan mengalu-alukan pemimpin Korea Selatan itu.– AFP










