Jadual padat menanti PM di Amerika Syarikat - Utusan Malaysia

Jadual padat menanti PM di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK – Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dari 25 hingga 29 September depan.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan di PBB pada 28 September yang bakal sarat dengan butir-butir penting mengenai dasar luar negara Malaysia baharu selain mempertahankan pendirian dan prinsip negara mengenai isu-isu yang  berkepentingan kepada Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ucapan Perdana Menteri itu amat penting kepada kementeriannya kerana akan menjadi satu ucapan dasar terhadap dasar-dasar baharu luar Malaysia susulan perubahan dalam pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bukan kali pertama Perdana Menteri menghadiri dan berucap di perhimpunan agung PBB, namun ini kali pertama bagi beliau yang mengetuai kerajaan baharu dan kami di Kementerian Luar, tidak  sabar  untuk  mendengar,” katanya kepada kumpulan media Malaysia yang bakal membuat liputan perhimpunan PBB itu di sini. 

Saifuddin berkata, Perdana Menteri akan diiringi isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad, dan beliau sendiri selaku Menteri Luar selain beberapa pegawai kanan kerajaan.

Selain ucapan di PBB, Mahahir dijangka mempunyai jadual padat sepanjang lima hari di sini bermula dengan sesi dialog dengan anggota United States Council on Foreign Relations, yang akan membincangkan situasi di Malaysia serta hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Perdana menteri seterusnya akan menyertai acara Bloomberg Global Business Forum, dalam perbincangan panel bertajuk ‘Kemunculan Hubungan Perdagangan Global’.

Saifuddin berkata, pada 27 September pula, Mahathir akan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Wawasan bagaimana Malaysia akan memenuhi cabaran menghadapi soal keselamatan kemakmuran dan dan kemapanan di Asia’.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama di acara ‘Mencapai SDGs: “Mendedahkan Potensi Kewangan Islam” yang akan diadakan di ibu pejabat PBB anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Bank Pembangunan Islam (IDB). – Bernama

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini