Istiqlal masjid terbesar di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Istiqlal masjid terbesar di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masjid di Jakarta yang dibina daripada hasil derma rakyat dan penjualan tiket sarkas bukan sekadar menjadi tempat menunaikan solat semata-mata, tetapi juga pusat pendidikan Islam bagi masyarakat Indonesia.

Istiqlal dalam bahasa Arab membawa maksud kemerdekaan dan menariknya mengenai masjid ini ialah, reka bentuknya dihasilkan oleh seorang arkitek beragama Kristian Protesten dari Belanda iaitu Frederich Silaban.

Walaupun Silaban merupakan penganut agama Kristian, namun ia menerapkan ciri-ciri keislaman yang tinggi dan unsur-unsur sejarah Indonesia dalam setiap binaannya.

Menurut seorang pemandu pelancong, Indra Diwangkara, masjid tersebut dibina daripada besi tahan karat dan batu marmar.

“Masjid ini mempunyai lima aras yang merupakan simbolik kepada lima rukun Islam. Untuk satu-satu masa, ia boleh memuatkan seramai 200,000 orang jemaah.

“Setiap seni binaan bangunan masjid ini mempunyai maksud tersendiri seperti 12 tiang seri di saf utamanya yang memberi pengertian 12 bulan dalam Islam,” jelas Indra.

 

BEDUK gergasi yang ditempatkan di dalam masjid itu.
Beduk gergasi yang terdapat dalam masjid ini.

 

 

Tambah Indra, saiz tiang seri dengan diameter 45 meter itu pula merupakan simbolik kemerdekaan Indonesia ke-45 ketika ia didirikan, manakala saiz menara di luar masjid setinggi 66.66 meter pula memberi pengertian 6,666 ayat di dalam al-Quran.

Lebih mengagumkan, pintu gerbang di hadapan saf utama turut diukir dengan 99 nama Allah, Asma Ul-Husna.

Derma rakyat

Menurut sejarah, Istiqlal mula dibina pada 24 Ogos 1961 dan digunakan oleh penduduk beragama Islam secara rasmi pada 22 Februari 1978.

Berpengalaman selama hampir empat tahun sebagai pemandu pelancong, cerita Indra, masjid unik itu dibina hasil wang derma rakyat Indonesia dan Istiqlal turut mendapat sumbangan daripada Raja Arab Saudi pada era berkenaan.

Pemandangan di kawasan luar Masjid Istqlal.
Pemandangan dalam masjid.

 

“Disebabkan pada waktu itu Presiden Indonesia, Sukarno bersahabat baik dengan Pemimpin Soviet Union, Nikita Khrushchev, beliau turut menyumbang dalam pembinaan Masjid Istiqlal dengan cara yang unik.

“Khrushchev telah menghantar sepasukan sarkas untuk membuat persembahan di serata Indonesia dan hasil kutipan didermakan untuk pembinaan Istiqlal,” ujarnya.

Apabila memasuki ruang dalam masjid tersebut, orang ramai dapat melihat satu beduk gergasi yang tersergam indah.

“Beduk ini diperbuat daripada kayu meranti merah berusia 300 tahun dari Kalimantan Timur. Ia digunakan pada awal pembinaan masjid itu untuk menghebahkan waktu solat bagi penduduk sekitar berkenaan.

“Beduk yang berdiameter dua meter pada bahagian depan diperbuat daripada kulit lembu jantan, manakala bahagian belakang yang berdiameter 1.71 meter pula diperbuat daripada kulit lembu betina.

“Menariknya, ia mendapat perhatian pemimpin dunia seperti Perdana Menteri India, Narendra Modi; Menteri Luar Amerika Syarikat, John Kerry dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud,” jelasnya.

Saf wanita dan lelaki bersebelahan di ruang solat utama Masjid
Saf wanita dan lelaki bersebelahan dalam masjid ini.

 

Kehebatan Istiqlal menyebabkan ia bukan sekadar menjadi tempat menunaikan solat semata-mata, tetapi juga sebagai pusat pendidikan Islam masyarakat sekitar.

Ini kerana, di aras bawah masjid itu menempatkan kelas pendidikan awal prasekolah sehingga ke pendidikan tinggi Islam.

“Ketika Presiden Megawati Sukarnoputri berkuasa, beliau mahu menunaikan solat di depan saf, setelah difikirkan oleh ahli ulama, saf wanita diletak sebelah kiri saf lelaki tetapi belakang satu barisan.Jelas Indra, seperkara yang menarik di masjid itu ialah, biarpun saf wanita diletakkan bersebelahan saf lelaki, tetapi saf tersebut berkedudukan satu baris ke belakang daripada saf lelaki.

“Walaupun beliau tidak lagi menjadi presiden, keadaan saf itu telah kekal hingga hari ini dan ia unik kerana tidak berlaku di masjid lain,” ujar beliau.

Pemandangan Masjid Istiqlal tersergam indah di ibu kota Jakarta.
Pemandangan Masjid Istiqlal.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN