PASIR MAS 17 Sept. – Seorang isteri buntu memikirkan masa depan diri dan anaknya berusia tiga tahun apabila suami yang sebelum ini menjadi tonggak keluarga hilang upaya untuk bekerja.
Che Rohana Che Ismail, 51, berkata, kehidupan dia dan anaknya itu berubah menjadi susah sejak suaminya, Mamat Jusoh, 64, hilang upaya selepas diserang penyakit angin ahmar dan jantung.
Menurutnya, serangan penyakit itu menyebabkan suami berada dalam keadaan separa sedar sejak 55 hari lalu.
“Sejak hari itu, saya bergantung harap sepenuhnya kepada sumbangan daripada rakan-rakan suami untuk meneruskan kehidupan.
“Sebelum ini, saya berniaga menjual minuman di hadapan rumah dan dapatlah bantu suami untuk tampung perbelanjaan rumah. Namun sejak dia sakit, saya tidak lagi dapat bekerja,” katanya kepada pemberita di Kampung Serongga, Repek di sini semalam.
Terdahulu, Che Rohana menerima kunjungan daripada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss) yang diketuai oleh Ketua Unit Komunikasinya, Akidi Hamid.
Dalam kunjungan tersebut, Kelss turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan susu untuk warga emas berkenaan.
Che Rohana memberitahu, suaminya itu memerlukan penjagaan rapi menyebabkan dia tidak mampu untuk meneruskan perniagaanya itu.
“Suami saya juga bergantung sepenuhnya kepada susu untuk mendapatkan tenaga bagi meneruskan kehidupan,” luahnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03027020267785.








