SABAK BERNAM – Seorang pelajar tahun enam, Iris Shakira Abd. Rahman, menjadi calon tunggal di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa di sini yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini.
Guru besarnya, Khaire Md. Zen berkata, ini merupakan kali kedua sekolah berkenaan mempunyai hanya seorang calon yang menduduki UPSR dengan kali pertama pada 2005.
“Tahun lepas, sekolah ini mempunyai dua orang calon UPSR manakala jumlah teramai calon menduduki peperiksaan itu iaitu seramai enam orang murid pada 2016.
“Justeru kita berharap Iris yang menduduki kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan bermula hari ini dapat melakukan yang terbaik,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Khaire, pihaknya berharap agar calon tunggal mereka dapat mencatat gred purata sekolah (GPS) yang membanggakan dan mengatasi pencapaian terbaik GPS 1.20 sekolah yang dicapai pada 2015 lalu.
“Kita berharap Iris mampu meraih keputusan 100 peratus dalam UPSR, sekaligus dapat mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus seperti pencapaian tahun-tahun sebelumnya,”ujarnya.
Khaire berkata, SK Tanjong Jawa hanya dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) pada tahun ini kerana mempunyai 16 orang pelajar iaitu seorang pelajar bagi kelas Tahun Enam, dua pelajar (Tahun 1) dan empat pelajar (Tahun 3) manakala masing-masing tiga pelajar bagi Tahun 2, 4 dan 5 dengan tenaga pengajar seramai sembilan orang guru.
Untuk rekod, SK Tanjong Jawa mencatat kejayaan manis apabila diumumkan sebagai Sekolah Kebangsaan terbaik daerah Sabak Bernam pada 2015 apabila dua orang calon UPSR sekolah itu bukan sahaja lulus 100 peratus, malah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam UPSR.
Pencapaian berkenaan sekaligus melayakkan SK Tanjong Jawa menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. – K! ONLINE










