Indonesia naikkan cukai import - Utusan Malaysia

Indonesia naikkan cukai import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 6 Sept. – Indonesia akan menaikkan cukai import terhadap lebih 1,000 barangan terdiri daripada kosmetik sehingga kereta, sebagai antara langkah untuk mengurangkan import dan juga menyokong nilai rupiah yang lemah,

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati memberitahu, cukai import akan dinaikkan sehingga 10 peratus pada 1,147 barangan pengguna, daripada kadar sedia ada antara 2.5 peratus hingga 7.5 peratus, berkuatkuasa minggu depan.

“Kami mahu berhati-hati, tetapi juga berpilih-pilih. Sekarang adalah masa luar biasa, jadi kita mengambil tindakan yang tidak dilakukan pada hari-hari biasa,” kata Indrawati.

Minggu ini, mata wang Rupiah jatuh ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada 1998, apabila ditutup 14,930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Bursa saham pula merudum ke paras terendah dalam tempoh dua tahun selain kejatuhan harga bon.

Rupiah mencatatkan prestasi terburuk dalam kalangan mata wang lain di Asia apabila pelabur menjual pegangan mereka berikutan kenaikan kadar faedah AS meningkat dan di tengah-tengah kebimbangan menularnya krisis ekonomi di Argentina dan Turki.

Tarif, bagaimanapun akan dikenakan pada paras 2.5 peratus bagi bahan mentah yang digunakan oleh industri pembuatan kerana pentingnya pengeluaran domestik, kata Indrawati.

Barangan pengguna seperti seramik, speaker dan pakaian renang akan dikenakan cukai import sebanyak 7.5 peratus. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN