SAUDARA PENGARANG, URA-URA mahu membawa usul membenarkan umur pengundi pilihan raya di negara ini diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun ke Parlimen perlu dibahaskan dengan serius oleh semua Ahli Parlimen dan memerlukan sokongan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga bagi mendapat lampu hijau.
Umur 18 tahun bagi rakyat Malaysia adalah umur yang dianggap matang dan diiktiraf sebagai seorang yang dewasa malah ditetapkan boleh berumahtangga dan jika seseorang melakukan kesalahan jenayah sudah ‘layak’ dihukum dengan hukuman berat.
Bila kita sebut kategori umur 18 tahun, ianya tidak dapat dipisahkan dengan sebilangan besar daripada mereka ini sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pastinya apabila layak untuk mengundi dalam pilihan raya, sudah tentu perubahan ketara di dalam kampus juga perlu diambil kira.
Kita tidak boleh lagi meminggirkan atau menyekat mahasiswa berkecimpung dalam mana-mana parti politik dan sudah tentu suara mahasiswa akan membangkitkan isu kebebasan bersuara atau memberikan ruang dan peluang mereka menubuhkan cawangan parti-parti politik di kampus mengikut citarasa masing-masing.
Selama ini, mahasiswa hanya dibenarkan menubuhkan kesatuan pelajar dan terhad di kampus serta pemilihan ketua-ketua pelajar mengikut fakulti dan hanya boleh bersuara mengikut garis panduan ditetapkan dalam kawasan universiti.
Jika langgar peraturan yang digariskan pentadbiran universiti, akan dikenakan tindakan tatatertib sebagaimana termaktub dalam peraturan universiti berkenaan.
Jika diluluskan umur 18 tahun boleh mengundi, bermakna semua sekatan yang dikenakan IPT perlu dikaji semula sejajar hasrat mengimbangi hak bersuara seperti mana hak semua rakyat Malaysia peringkat usia lain yang layak mengundi.
Golongan umur 18 tahun itu juga boleh dibenarkan bertanding sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri dan jangan terkejut jika kawasan kampus itu pun akan termasuk sebagai kawasan kempen pilihan raya.
Apabila sebut kebebasan bersuara, sudah tentu speakers corner akan diperkenalkan dalam kampus dan berkemungkinan tertubuhnya ranting atau cawangan parti politik sementara tokoh-tokoh politik akan masuk ke kampus untuk berkempen.
Oleh yang demikian, cadangan menurunkan umur mengundi daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun hendaklah dibuat kajian terperinci sebelum diluluskan kerana kita kena pinda banyak peraturan.
SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan Seremban










